Followers

Friday, August 21, 2015

Bekas Pegawai Peguam Negara bakal dedahkan maklumat sulit kertas pertuduhan keatas Najib


Zar Ali's photo. Pegawai Pejabat Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur dijangka memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar perintah pengusiran yang dikeluarkan terhadapnya oleh Kementerian Dalam Negeri. 

Jessica sudah menetap di Malaysia selama lebih 20 tahun sebelum tindakan secara drastik dalam beberapa hari ini, yang bermula dengan siasatan pihak berkuasa terhadapnya dan bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh berhubung dakwaan kebocoran kertas pertuduhan yang dikatakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insider peguamnya sedang menyediakan kertas mahkamah untuk semakan kehakiman atas alasan perintah itu tidak munasabah, arbitrari dan tidak adil.

 
“Dia tidak diberi hak untuk didengar,” kata sumber dekat dengan peguam Jessica. 

Sumber itu berkata, tindakan terhadap Jessica sebenarnya adalah gangguan dan intimidasi terhadap kakitangan awam. 

“Dia berkhidmat dengan setia dan bersungguh-sungguh dalam perkhidmatan awam Malaysia dan tidak adil untuk mengusirnya ketika dia tidak melakukan kesalahan,” kata sumber itu. 

Jessica juga dijangka memfailkan afidavit yang akan mendedahkan mengapa pihak berkuasa begitu mahu memberhentikan perkhidmatannya, lapor Malaysiakini. 

"Beliau akan memfailkan afidavit 'meletup' mendedahkan mengapa mereka melakukan perkara ini," kata sumber yang rapat dengannya kepada Malaysiakini. 

Jessica, seorang warga Singapura, dibatalkan jaminan polis pada Jumaat lepas dan permit pemastautin tetap anaknya juga dibatalkan, kata sumber kepada The Malaysian Insider malam tadi. 

Seorang peguam yang enggan namanya disiarkan mengesahkan perkhidmatan Jessica dengan Jabatan Peguam Negara ditamatkan minggu lepas tetapi berkata tidak mengetahui perintah pengusiran itu. 

"Saya terkejut bagaimana ia sebaliknya terjadi dan menjangka pihak berkuasa Malaysia akan menahannya di sini kerana beliau mempunyai banyak maklumat sulit," kata peguam itu. 

Beliau berkata Jessica tidak akan tertakluk kepada undang-undang Malaysia seperti Akta Rahsia Rasmi sebaik saja keluar dari negara ini. 

"Kita akan tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini," katanya. – 21 Ogos, 20.


themalaysianinsider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.