KUALA TERENGGANU - Pas menganggap tindakan sekumpulan ahlinya yang keluar parti itu sebagai satu proses pembersihan dalam Pas.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berkata, perkembangan itu langsung tidak membimbangkan sebaliknya
optimis dengan tindakan pihak terbabit dan menyifatkan ia adalah
pemutihan yang berlaku secara automatik.
"Itu pembersihan parti yang berlaku
dengan sendiri. Apabila berlaku banjir bah, pasir berubah..tidak risau,
tidak risau. Gembira, gembira," katanya kepada pemberita ketika hadir di
Majlis Hari Raya Terbuka Pas Terengganu di hadapan Pejabat Pas
Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Ulama
Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh serta pimpinan negeri
termasuk Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat.
Beliau turut memberitahu bahawa keahlian
Pas semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dan mendakwa kira-kira
4,000 ahli baharu telah pun didaftarkan, manakala lebih kurang 3,000
borang keahlian baharu sedang diproses ketika ini.
Dalam perkembangan sebelum ini, beberapa
pihak keluar Pas termasuk bekas Ketua Pemuda Pas Melaka, Jauhar Mohd
Dawi yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Harapan Baru,
sebelumnya bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Adly Zahari dan Ketua Pemuda
Pas Shah Alam, Helmi Radzuan, serta 12 orang anggota jawatankuasanya.
Selain itu, seramai 12 orang terdiri
daripada pemimpin dan ahli Pas kawasan Jelebu termasuk bekas Ketua
Pemuda Pas Kawasan Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus turut mengambil
tindakan sama, semalam.
Dalam perkembangan lain berhubung
Himpunan Bersih 4.0, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang
memberitahu pihaknya hanya menghantar dua orang wakil ke perhimpunan
tersebut pada 29 dan 30 Ogos ini kerana memaklumkan pihaknya akan
menganjurkan majlis sendiri nanti.
Dua wakil tersebut adalah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya 1 Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.
Batu Vs Kayu
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.