Followers

Saturday, July 11, 2015

Mahasiswa desak Najib undur ‘bertembung’ pesara polis di Putrajaya

 

Sekumpulan mahasiswa yang dikenali sebagai “Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara” yang cuba menyerahkan memorandum menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya menerima cabaran dalam bentuk gangguan daripada sekumpulan orang awam tidak bersetuju dengan tindakan mereka.

Pesara polis, Roslan Darus, 58, adalah orang awam yang paling lantang membantah cubaan kumpulan kira-kira 10 mahasiswa itu untuk berucap, sewaktu membuat demonstrasi ringkas bersama kain rentang dan sepanduk di hadapan Masjid Putra, Putrajaya pada kira-kira jam 2 petang selepas solat Jumaat, petang ini.

"Tunggulah lagi 2 tahun. Ayat pun tak betul nak bercakap apa?

"Lawanlah dik, Seri Perdana dah dekat dah tu," kata Roslan kepada mahasiswa itu sewaktu salah seorang wakil mereka cuba berucap di hadapan masjid.

Tindakan Roslan mengundang ketawa orang ramai yang berkerumun di hadapan masjid bagi mengetahui demonstrasi kecil yang berlaku selepas solat Jumaat tadi.

Kumpulan mahasiswa itu kemudian berarak ke arah bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terletak bersebelahan Masjid Putra dan dalam kawasan sama dengan kediaman rasmi PM, Seri Perdana.

Mereka berarak sambil membawa kain rentang putih bertulisan "Mahasiswa tuntut Najib undur" serta beberapa sepanduk diperbuat dari kad manila bertulisan "Step down Najib" dan "Najib isytihar harta".

Sekumpulan kira-kira 7 orang anggota polis beruniform mengawasi pergerakan mahasiswa berkenaan.



Pada masa sama, The Malaysian Insider menemu bual Roslan yang kekal di kawasan masjid dan tidak mengekori pergerakan mahasiswa itu.

"Saya menyampah pasal Melayu ini tak reti hendak bersyukur dengan nikmat.

"Kalau tak ada polis (berkawal) saya tampar semua itu tetapi, saya hormat polis kerana saya pun bekas polis.

"Saya dulu sekolah orang putih bayar RM9.90 sebulan, tetapi kita hari ini bangsa Malaysia semua dapat (pendidikan) percuma," katanya.

Wakil kumpulan mahasiswa itu, Muhamad Luqmanul Haqim Zul Razali kemudian membacakan 3 tuntutan mereka di hadapan pintu masuk – menuntut Najib mengesahkan tuduhan The Wall Street Journal meliputi nombor akaun dan dakwaan wang masuk ke akaunnya, serta menuntut Najib mengisytiharkan harta.

"Sekiranya Datuk Seri gagal melakukan segala di atas, kami menuntut Datuk Seri dan semua kepimpinan negara meletak jawatan.

"Atau kami akan menggerakkan satu gerakan besar-besaran bagi menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri dan Barisan Nasional," kata Luqmanul Hakim membacakan kenyataan media.

Bagaimana pun, tiada sebarang serahan memorandum dilakukan kepada mana-mana wakil JPM. –TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.