Followers

Wednesday, January 7, 2015

Pertahan ‘Raja Judi’, Zahid Perlu Jawab Dengan Kabinet Hari Ini

 

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata persoalan yang timbul dari surat rahsia daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dijelaskan esok di mesyuarat Kabinet.

Kabinet perlu memastikan Menteri Dalam Negeri‎ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan isu surat sokongan membela 'raja judi', Paul Phua Wei-Seng dalam mesyuarat esok, kata Fahmi Fadzil.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet yang akan bertemu esok akan memastikan Zahid tampil memberi jawapan jelas.

"Tiba masanya untuk Zahid menjawab secara terbuka tentang pelbagai isu yang timbul akibat 'surat sokongan' rahsia ini, untuk mengelak spekulasi daripada terus bermain di fikiran rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan portal Malaysiakini hari ini memetik sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai berkata, Zahid tidak merujuk pihak polis sebelum menghantar surat sokongan rahsia kepada FBI berkenaan status Paul.

Laporan tersebut juga memetik sumber PDRM sebagai berkata, laporan PDRM yang diberi kepada FBI berkenaan Paul dan kumpulan kongsi gelap 14K adalah benar.

"Jika sumber yang dipetik Malaysiakini itu sahih dan benar, perkara ini cukup mengejutkan dan implikasinya amatlah berat, bukan sahaja kepada Zahid selaku menteri yang menulis surat rahsia tersebut, tetapi juga kepada (peguam) Tan Sri Shafee Abdullah yang berkata laporan PDRM mengenai Paul adalah tidak betul," katanya.

Katanya pada masa sama, jika sumber PDRM yang dipetik Malaysiakini itu benar, Shafee juga perlu disoal mengapa kenyataan beliau berlainan daripada apa yang disebut sumber PDRM.

Zahid sebelum ini didakwa menulis surat rasmi kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Guiliano menafikan Phua terlibat dalam kongsi gelap 14k Triad.

Zahid dalam surat bertarikh 18 Disember 2014 itu juga menyatakan Phua membantu Malaysia dalam perkara "keselamatan negara" dan harap Phua dapat pulang ke Malaysia.

Surat itu didedahkan dalam akhbar Hong Kong, South China Morning Post, dikatakan dibuat atas permintaan Shafee yang juga peguam mewakili Phua.

Phua, bekas pemilik restoran kasino di Macau menghadapi dakwaan perjudian sukan haram di Las Vegas selepas ditangkap Lembaga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semasa musim Piala Dunia tahun lalu.

- tmi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.