Followers

Wednesday, January 7, 2015

Kabus tebal, penerbangan AirAsia ke Chennai dilencong

 
Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Chennai, Tamil Nadu adalah antara beberapa penerbangan yang ditunda dan dilencongkan ke bandar raya berdekatan kerana kabus tebal menyelubungi lapangan terbang di bandar raya selatan India itu semalam.

Semakan data penerbangan mendapati penerbangan AK11, yang sepatutnya mendarat di Chennai pada jam 7.25 pagi waktu tempatan dilencongkan ke Colombo, Sri Lanka.
  
Pesawat yang membawa 168 penumpang itu kemudian mendarat dengan selamat pada jam 11.15 pagi waktu tempatan apabila jarak penglihatan bertambah baik.

"Juruterbang pesawat sangat telus. Beliau berkata lapangan terbang Chennai tidak membenarkan penerbangan mendarat kerana jarak penglihatan cuma beberapa meter kerana kabus," kata Ketua Penyunting, Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama, M. Govind Nair, yang merupakan seorang daripada penumpang ketika dihubungi.
  
Beliau berkata di lapangan terbang Colombo, pesawat menunggu selama dua jam di landasan tetapi semua penumpang berada dalam keadaan ceria.
  
"Semua penumpang bertepuk tangan apabila juruterbang mendaratkan pesawat itu dengan selamat di Chennai selepas melalui beberapa situasi yang bergelora," kata Govind.
  
"Keadaan kabus tebal yang jarang berlaku itu telah mencetuskan situasi kelam-kabut di lapangan terbang Chennai selama beberapa hari. Bukan penerbangan AirAsia sahaja yang terjejas.
  
Penerbangan yang ditunda atau dilencongkan ialah penerbangan yang dijadualkan mendarat atau berlepas dari pukul 6 pagi hingga 8 pagi semalam, kata seorang pegawai yang berpusat di lapangan terbang Chennai.
  
Keadaan kabus tebal adalah masalah biasa yang sering dihadapi oleh lapangan terbang di utara India semasa musim sejuk tetapi tidak di bandar raya di selatan India.
  
Ketika ditanya mengapa penerbangan dilencongkan ke Colombo, pegawai itu berkata setiap lapangan terbang mempunyai ruang untuk menerima penerbangan yang dilencongkan dan biasanya lapangan terbang paling dekat akan dipilih.
  
"Ia merupakan amalan biasa dalam industri penerbangan," katanya kepada Bernama.
  
Laporan Times of India pada Isnin berkata jarak penglihatan mula merosot pada tengah malam Sabtu sehingga 50 meter dan sejak itu beberapa penerbangan yang dijadualkan mendarat dan berlepas dari Chennai telah terjejas.

Ia memetik seorang pegawai Pejabat Meteorologi sebagai berkata bahawa kabus jarang berlaku di Chennai tetapi ketumpatan air akibat tiupan angin dari utara dan tahap kelembapan udara yang tinggi menjejaskan jarak penglihatan selama kira-kira lima hari dalam setahun pada dua minggu pertama Januari.

Justeru, keadaan yang serupa kemungkinan akan berterusan selama beberapa hari lagi, kata beliau.
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.