Followers

Sunday, November 2, 2014

Hujah Hari Pertama Shafee Tidak Gugat Keyakinan Anwar Shahbudin Husin,

 
 
Mengikuti hujah yang dibentangkan oleh pihak pendakwa kes rayuan liwat melibatkan Anwar Ibrahim pada hari pertama semalam, tentunya ramai yang bersetuju bahawa persembahan Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan agak mengecewakan.

Hujah-hujahnya menepis kredebiliti Saiful Bukhari yang ditimbulkan Gopal Sri Ram, isu konspirasi politik  yang dibangkitkan Surendran dan pencemaran sampel DNA yang tidak disimpan dalam peti sejuk sebagaimana yang dipertikaikan oleh Ramkarpal, tidak ada yang di luar jangkaan dan hanyalah bersifat biasa-biasa saja.

Sebaliknya yang ditimbulkan Shafee dengan ghairah ialah mengenai aksi seks antara Anwar dengan Saiful yang didakwanya berlaku dengan kasar dan diikuti dengan tindakan Ketua Pembangkang itu menyemburkan air maninya ke dalam dubur bekas pembantunya itu.

Juga disensasikan ialah mengenai suit mahal jenama Brioni yang dihadiahkan Anwar kepada Saiful serta pemberian elaun ketika bertugas di luar negara sebagai asas yang didakwa wujudnya hubungan kemesraan antara mereka.
 
Dan sebagaimana yang diduga oleh Anwar bahawa fantasi seks yang ditimbulkan itu adalah semata-mata untuk menjadi mainan Utusan dan TV3, semua media konservatif dan media baru kemudiannya menyambut isu itu dengan meriah sekali. Ia juga diulang-ulang dengan pelbagai analisa, persepsi dan tokoh-tambah.

Meskipun Shafee juga menyatakan pembentangannya pada hari pertama hanya meliputi antara 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan fakta yang bakal dibentangkannya, beliau sama sekali tidak cuba menyanggah mengenai penemuan doktor bahawa tiada penembusan pada dubur Saiful itu.

Begitu juga tentang bagaimana seluar dalam yang tidak dipakai Saiful tetapi ada kesan air mani, laporan doktor yang menyatakan tiada kecederaan tetapi perlakuan seks didakwa berlaku secara kasar serta bagaimana Saiful boleh menemui pegawai polis bernama Mohd Rodwan dua hari sebelum kejadian liwat itu didakwa berlaku.

Tindakan Saiful yang didapati sebagai mangsa liwat secara kasar tetapi masih datang menghidangkan teh kepada tetamu Anwar dengan wajah selamba juga turut tidak disentuh  oleh Shafee.

Berbanding Gopal Sri Ram yang membangkitkan semua perkara  itu pada hari pertama pembelaannya, rakyat amat berharap agar Shafee tidak lupa untuk berhujah mengenainya dalam pembentangannya yang masih berbaki antara 75 hingga 80 peratus yang akan disambung Isnin nanti.

Dengan membangkitkan isu perlakuan seks secara agak detail, barangkali ramai yang memahami bahawa itulah kelebihan Shafee berbanding jika pasukan pendakwa hanya terdiri daripada  kakitangan Jabatan Peguam Negara saja.

Anwar pula, dengan keyakinan bahawa banyak keraguan yang telah ditimbulkan oleh para peguamnya sejak Selasa lalu tetap mempunyai asas yang kukuh untuk diterima oleh hakim, langsung tidak terganggu dengan hujah-hujah berkaitan perlakuan seks yang tentunya mengaibkan diri, keluarga, anak-anak dan cucunya yang dibangkitkan oleh Shafee itu.

Menemui penyokongnya sebaik mahkamah berhenti rehat pada tengahari selepas itu, beliau tetap meluahkan keyakinan akan dibebaskan pada Selasa ini walaupun cuba diaib dan dimalukan di dalam mahkamah.

Malah ketika bersembahyang Jumaat  di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya kemudiannya, beliau tetap disambut hangat oleh rakyat yang berebut-rebut mahu bersalam dan memberi kata perangsang kepadanya.

Dianggap sebagai ahli politik negara paling mengagumkan, tabah dan sabar, Anwar tetap mempunyai pengaruh, sokongan serta diperlukan di sebalik laluan ke penjara bagaikan semakin terbuka untuknya. ( SH 01/11/2014)

Anwar masih sempat bergurau ketika mahu menemui penyokongnya...
 

Berebut-rebut orangramai mahu bersalam dan memberi kata semangat kepadanya...

  
KedahLanie

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.