CAMERON HIGHLANDS 1 Nov. – Bukan sekadar boleh membuka kedai runcit
malahan bebas menggaji rakyat dari negara mereka sendiri sebagai
pekerja.
Itu situasi yang berlaku di daerah peranginan ini apabila pendatang asing khususnya warga Bangladesh 'menawan' peluang ekonomi penduduk setempat kerana diberi ruang untuk berbuat demikian.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana warga asing
tersebut dengan sewenang-wenangnya bertindak demikian sedangkan dokumen
kerja yang dimiliki mereka adalah dalam sektor lain.
Satu sumber berkata, terdapat kira-kira 18 kedai runcit dan sebuah hotel
bajet yang diusahakan warga asing terutama di Lembah Bertam, Ringlet,
Tringkap serta Kuala Terla sejak enam tahun lalu.
“Meskipun mereka mungkin mempunyai permit kerja dalam sektor pertanian
namun tidak boleh melanggar syarat dengan menjalankan perniagaan kedai
runcit apatah lagi menggaji warga asing lain.
“Kebanyakan pekerja itu pula dikatakan tidak mempunyai permit. Ada dalam
kalangan mereka menggunakan pas lawatan pelancong sebagai tiket untuk
bekerja di negara ini,” katanya.
Menurut sumber itu, terdapat warga asing menjadikan perkahwinan mereka
dengan penduduk tempatan sebagai 'lesen' untuk menjalankan perniagaan
kedai runcit.
Dakwanya, di sebalik perniagaan itu, warga asing berkenaan berani
menjual rokok seludup selain mengakibatkan penduduk tempatan terpaksa
bersaing dengan mereka.
“Warga asing tidak perlu risau atau takut kerana mereka 'dijaga' agensi
penguat kuasa terbabit dengan hanya memberikan bekalan seperti rokok dan
keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran secara percuma,”
dakwanya.
Sumber itu berkata, warga asing juga bebas membuka gerai untuk menjual ikan dan sayur di pasar-pasar malam di sekitar Cameron Highlands.
Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar Ringlet sehingga
ke Kampung Raja menemui beberapa premis perniagaan yang diusahakan oleh
warga asing.
Di Ringlet umpamanya, Mingguan Malaysia menemui premis dua tingkat yang
dibuka oleh warga asing dan dipercayai menjadi lokasi kegiatan mesin
judi haram serta pusat pembekalan gadis pelayan pelanggan (GRO).
Tinjauan di Kuala Terla pula mendapati terdapat sekurang-kurangnya dua
buah kedai runcit yang menjual keperluan harian seperti susu dan tepung
diusahakan warga asing.
Dalam pada itu, tinjauan di pasar malam Kampung Raja mendapati terdapat
lebih dua gerai dibuka warga asing menjual keperluan harian seperti
ikan, buah dan sayur kepada penduduk tanpa mereka perlu berasa takut
terhadap pihak berkuasa. ~utusan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.