KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk menghantar tiga orang wakil bagi menyampaikan pandangan pakatan rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) air.
Tiga mereka yang mewakili parti masing-masing adalah Timbalan Presiden DAP Tan Kok Wai, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini turut meminta agar Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak tergesa-gesa menandatangi perjanjian awal dengan kerajaan pusat berhubung MoU itu.
"Pandangan harus diberikan penjelasan lebih terperinci tentang kesan kepada Selangor, hal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan (Pakatan) sebelum ditandatangi perjanjian.
"Kita memberi ruang kepada Khalid untuk memberi penjelasan, sebelum ini kita nyatakan sokongan terhadap langkah-langkah yang telah diambil," jelasnya.
Tambah beliau, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak bermaksud untuk mencampuri urusan kerajaan negeri tetapi setiap keputusan yang diambil perlu memberi keutamaan kepentingan rakyat.
Sementara itu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat belum melihat kandungan MoU tersebut.
"Perkara ini perlu diambil, apa-apa keputusan dibuat biar lebih teratur sebab itu pimpinan haru tahu isi kandungan.
"Kita ada persefahaman setiap apa yang dibuat perlu diketahui semua dan dari itu kita akan dapat melihat apa kesan yang dialami oleh rakyat," kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid memberi jaminan bahawa perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak akan menyebabkan pengguna menanggung kos lebih tinggi.
"Tidak," kata Khalid ringkas pada sidang media hari ini tanpa menjelaskan lebih terperinci mengenainya.
Khalid berkata, Perjanjian Awal menyatakan tiada kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun akan datang (HD)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.