Followers

Friday, October 11, 2013

[VIDEO] Ambrin Buang Dengan "Kisah & Tauladan", Kita Perlu Ramai Pegawai Sepertinya




Saya berani tampil kerana tidak buat salah,” kata Ketua Audit Negara

Selepas pendedahan kontroversi skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC), nama Tan Sri Ambrin Buang (gambar) mula dikenali rakyat Malaysia kerana berjaya mengesan kewujudan skandal berkenaan dalam buku audit tahunan kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara 2011.
Program Wacana Sinar Harian hari ini bertempat di Shah Alam menampilkan Ambrin buat pertama kalinya di khalayak selepas Laporan Ketua Audit Negara 2012 dikeluarkan bulan lalu di Parlimen.

"Saya berani tampil hari ini kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan," kata Ambrin ketika ditanya pemberita selepas tamat program Wacana Sinar Harian bertajuk Laporan Audit Negara: Tiris atau Terlepas Pandang di Ibu Pejabat Karangkraf berkenaan.

"Ramai yang tidak tahu macam mana kita buat kerja. Audit ini neutral, kita bebas," kata Ambrin.

Kehadiran Laporan Ketua Audit Negara mula dinanti rakyat Malaysia selepas pendedahan kes NFC yang mengaitkan keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan wang dana kerajaan bernilai RM250 juta.

Ambrin ketika wacana berkenaan berlangsung berkata, beliau menganggap audit umpama lagu "Kisah dan Taulada" nyanyian A. Halim, penyanyi yang terkena sekitar tahun 60-an.

"Kita audit kisah supaya jadi tauladan. Bayangkan kalau audit tak masuk, benda yang tak elok tu biar macam itu sahaja," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu terburu-buru menuduh isu yang dikeluarkan dalam Laporan Audit Negara sebagai penyelewengan ataupun rasuah.

"Kalau semua 160 kes yang disiasat Audit itu mesti rasuah, itu tak adil. Kita kena hormati undang-undang," katanya, merujuk kepada 160 kes yang disiasat jabatan berkenaan berdasarkan "sampling".

Ambrin menegaskan audit yang dilakukannya adalah berdasarkan nilai "value for monaey."

Beliau turut beberapa prosedur yang digunakan kerajaan yang mempunyai kelemahan selepas audit dijalankan, dan menggesa kerajaan meneliti prosedur tersebut untuk mengelakkan perkara sama daripada berulang.

"Prosedur kata satu hal. Kalau kita tak tukar prosedur tiap-tiap tahun perkara berulang. "Perkhidmatan awam kita dinamik," katanya.

Ambrin bersama-sama dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dijemput sebagai panel.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan dipilih sebagai moderator hari ini.

Forum yang bermula sekitar jam 2.30 petang itu berakhir 2 jam kemudian. -TMI












Audit umpama kisah dan tauladan

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menyifatkan laporan yang dibentangkan saban tahun sebagai 'kisah dan tauladan' yang perlu diberi perhatian semua pihak.

Beliau berkata, ketua jabatan orang yang paling berperanan dalam membawa perubahan.

''Kami di audit buat laporan macam lagu 60-an ‘Kisah dan Tauladan’.

“Audit (ambil) kesah supaya perkara itu dijadikan tauladan. Bayangkan kalau audit tidak masuk, benda bermasalah dibiarkan, ketirisan akan berlaku,” katanya.

Ketirisan, katanya, bukan hanya melibatkan perbelanjaan tetapi juga aspek lain termasuk pungutan hasil.

Menurut beliau, Jabatan Audit Negara menggariskan tiga perkara utama yang boleh menentukan perbelanjaan yang dikeluarkan itu bernilai.

“Kami gambarkan tiga perkara yang disebut sebagai 3E, ekonomi-efisien-efektif. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu reflect 3E itu tidak ada, sebaliknya timbul pula 3P, iaitu pemborosan-pembaziran-penyelewengan.

“Tanggungjawab kita menyedarkan ketua jabatan agar penambahbaikan dapat dibuat. Tetapi kadang-kadang ketua jabatan tidak sedar. Bila audit sedarkan, mereka perlu ambil tindakan. Kalau tindakan sudah diambil, kami akan maklumkan dalam laporan,” katanya.

Ambrin turut mengingatkan masyarakat tidak mudah menuding jari daripada hasil laporan audit.

Katanya, sejak tahun 80-an pihaknya menggunakan konsep Audit Prestasi bagi memperlihatkan sejauh mana perbelanjaan wang awam itu memberi hasil dan impak yang berkesan.

“Kerja ini bukan baru kami lakukan, kami lakukan audit kepada pihak yang menjalankan aktiviti kerajaan yang mana melibatkan wang awam.

“Kerja ini juga bukan mudah kerana ia ambil masa panjang bagi menzahirkan laporan yang seimbang,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga mempunyai Standard of Procedure (SOP) dan etika yang perlu dipatuhi kerana laporan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kabinet, Parlimen dan kerajaan negeri.

Beliau turut memberitahu sebanyak 160 jabatan termasuk di peringkat persekutuan, negeri dan badan berkanun telah diaudit.

Katanya lagi, setiap audit yang dilakukan oleh jabatannya amat teliti kerana mereka mengambil kira semua aspek.

“Kami bukan buat audit atau pemeriksaan di dalam bilik, kami turun padang berjumpa dengan konsultan dan kontraktor, kemudian bercakap pula dengan penjawat awam yang terlibat.

“Selepas mendapat penjelasan, draf laporan dibuat, fakta-fakta yang dikumpul disahkan, kemudian kita beri mereka peluang untuk membuat penjelasan.

“Proses ini macam majlis syura, mahu semua pihak puas hati. Bila ada penjelasan kurang munasabah, jadi isu itu wajar diperbetulkan,” katanya.

Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti kerajaan persekutuan, badan berkanun persekutuan dan kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri. -HD


Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.