Followers

Friday, October 11, 2013

Naib Presiden Umno: Zahid pasti menang, dua lagi belum tentu !! - OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA

  Tiga penyandang naib presiden Umno,(dari kiri) Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 
Tiga penyandang naib presiden Umno, (dari kiri) Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
    
 Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikira calon naib presiden Umno paling selamat sekarang, manakala Datuk Mukhriz Mahathir pula dikatakan bakal menyertai beliau dalam kelompok kepimpinan utama Umno itu.

Mengejar mereka berdua adalah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang berebut tempat dengan penyandang jawatan dari Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, kata pemerhati politik dalam perebutan jawatan naib presiden Umno yang sedang hangat sekarang.

"Bagi saya Zahid selamat. Dia pandai bermain sentimen dengan perwakilan Umno. Dia 'play to the galaries' (bermain mengikut mood) Umno," kata Dr Zaiyadi Awang Noh, bekas pemimpin Pemuda Umno yang satu ketika dahulu rapat dengan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid menerima tekanan pelbagai pihak ekoran kenyataan dan beberapa tindakan yang beliau lakukan kebelakangan ini bahkan ada yang menuntut beliau dipecat dari Kabinet.

Bagaimanapun, tekanan itu datangnya dari luar Umno, sedangkan apa yang dibuat oleh Ahmad Zahid amat disenangi oleh perwakilan parti Melayu itu.

Isu 'tembak dulu', menekan sebuah portal berita, Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan seumpamanya membuatkan Ahmad Zahid semakin disenangi pemimpin dan khususnya perwakilan Umno dari akar umbi.

Turut menyokong Ahmad Zahid adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, satu pengiktirafan besar untuk bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ketika Ahmad Zahid berada di depan, Mohd Ali dilihat antara muka baru (daripada tiga pencabar baru) yang bakal menang.

"Sila perhatikan Ali. Saya fikir dia boleh menang," kata Bridget Welsh, penganalisis politik Asia Tenggara dari Amerika yang kini berpusat di Singapura, dalam satu pertemuan bersama The Malaysian Insider.

Mohd Ali juga dilihat pandai bermain sentimen dengan Umno dengan banyak isu yang dibangkitkan olehnya digemari Umno.

Pada peringkat awal ketika mengumumkan minatnya menyertai pertandingan merebut jawatan naib presiden ini, Mohd Ali membuat kenyataan menghentam pusat perjudian di Genting Highlands.

Bekas ketua menteri Melaka itu mendakwa, kasino mewujudkan pelbagai masalah sosial dan jenayah.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam bangkit isu yang digemari perwakilan untuk menang.  "Ali bermain sentimen dengan perwakilan Umno daripada cawangan yang sememangnya sensitif dengan isu perjudian ini," kata seorang lagi penganalisis.

Dalam pemilihan kali ini, jawatan kepimpinan Umno akan dipilih oleh kira-kira 150,000 perwakilan daripada cawangan Umno yang menyertai mesyuarat Umno di peringkat bahagian.

Seorang lagi calon yang disebut-sebut bakal menang adalah Mukhriz, anak Dr Mahathir yang baru-baru ini dipilih sebagai tokoh paling berpengaruh dalam Umno sekarang.

Dengan pengaruh bapanya serta kejayaan beliau mengambil alih Kedah dari PAS dan Pakatan Rakyat (PR), Mukhriz dipilih oleh banyak pihak untuk menang selepas Ahmad Zahid dan Mohd Ali.
Pada peringkat awalnya, nama Shafie terpilih untuk menang namun sejak kebelakangan ini nama beliau semakin jauh ketinggalan.

"Mulanya kita ingat Shafie akan menang kerana dia dijangka bakal mendapat sokongan perwakilan Umno untuk membolehkan ada wakil Sabah dalam pucuk tertinggi Umno. Namun faktor dia tidak sehaluan dengan Ketua Menteri Sabah, (Datuk Seri ) Musa Aman menyebabkan keyakinan itu semakin menurun," kata Zaiyadi.

Namun begitu, faktor perwakilan Umno di Semenanjung yang mahukan seorang naib presiden mereka dari Sabah dan Sarawak boleh menyelamatkan Shafie.

Shafie antara pemimpin Umno yang sentiasa menekankan keperluan untuk perwakilan Umno mengekalkan ketiga-tiga naib presiden yang ada iaitu Ahmad Zahid, dirinya dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Walaupun ramai yang melihat Hishammuddin dan Tan Sri Isa Samad tertinggal ke belakang dalam perebutan ini, namun faktor Najib adalah sepupu kepada Hishammuddin dan 54 kawasan Parlimen atau bahagian Umno yang berada dalam kawasan Felda juga perlu diambil kira.

"Jangan lupa, kalau Najib fikir Hishammuddin perlu ada dalam pucuk kepimpinan utama Umno, dia boleh hubungi 'warload' Umno di seluruh negara untuk memberikan kemenangan kepadanya," kata seorang penulis politik, Shahbudin Husin.

“Begitu juga Isa. Perwakilan Umno daripada cawangan di seluruh kawasan Felda ini boleh menyebabkan Isa terpilih jika mereka solid menyokong beliau,” katanya.  – 11 Oktober, 2013.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.