• 'Kami bukan samseng'  
  • Wan Abdul Rashid (duduk, tiga dari kanan) bersama ahli jawatankuasanya menafikan penglibatan ahlinya dalam gejala gengster di negara ini.
 
TRIANG - Pekida Daerah Bera menafikan sekeras-kerasnya penglihatan 1,200 ahlinya yang berdaftar dalam aktiviti gejala samseng di negara ini.

Pengerusinya, Wan Abdul Rashid Wan Ismail berkata, berikutan Ops Cantas yang dilaksanakan bagi menangani gejala gengster, secara tidak langsung, ada pihak tertentu yang mengaitkan nama Pekida terlibat dengan aktiviti tersebut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan dan tinjauan dalaman yang dilakukan jawatankuasanya, semua ahlinya bersih dari gejala itu malah masih berpegang kepada perjuangan untuk menegakkan syiar Islam selain mempertahankan bangsa dan negara.

“Setakat ini, saya yakin, tiada ahli Pekida yang terlibat dalam gejala samseng atau gengster ini.

“Malah, kita melarang semua ahli memberi atau meluahkan kenyataan berkaitan isu ini (Ops Cantas) secara lisan atau bertulis sama ada menerusi media atau laman sosial seperti facebook, twitter atau blog,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Agong Pekida Daerah Bera, dekat sini.

Wan Abdul Rashid berkata, sekiranya ada di antara ahli yang melanggar etika itu, pihak jawatankuasa boleh mengenakan tindakan sewajarnya demi menjaga imej Pekida.

Katanya, pihak Pekida juga tidak akan bertanggungjawab terhadap ahlinya yang membuat kenyataan secara terbuka tanpa memaklumkan kepada pihaknya sekiranya disoal siasat pihak berkuasa.

“Perkara ini sudah berulang kali diingatkan kepada semua ahli supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mengenai isu gejala samseng ini.

“Kita tidak mahu orang salah anggap dengan pertubuhan Pekida hanya kerana segelintir yang tidak bertanggungjawab ini, sekali gus memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan ini’” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan kepada semua ahli supaya membayar yuran keahlian bagi membolehkan mereka terus menikmati kemudahan kebajikan sosial yang disediakan.

Dalam perkembangan lain, Wan Abdul Rashid juga mahu semua ahli memberi komitmen untuk memperkasakan Pekida Daerah Bera bagi mengelakkan pertubuhan itu dibatalkan seperti mana yang berlaku di tiga daerah di negeri ini kerana gagal mengikut syarat yang telah ditetapkan.