Sakit serang tak tentu masa
Jasni bersama isteri serta anak-anaknya bergambar dihadapan rumah mereka.
 
Sakit serang tak tentu masa
Arisa yang menghidap penyakit jantung berlubang.
 
Sakit serang tak tentu masa
Keadaan dari luar rumah Jasni.
 
SIK - Suami kerap mengalami kekejangan otot, manakala anak bongsu berusia dua tahun menghidapi penyakit jantung berlubang.

Pasangan ini yang mempunyai empat puteri hidup dalam keadaan serba kekurangan dan menghuni rumah tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik akibat kesempitan hidup.

Rumah itu baru sebulan didiami yang dibina atas ehsan penduduk di Kampung Batu Dua, di sini.

Sebelum ini mereka tinggal di rumah sewa namun, terpaksa keluar kerana tidak mampu menjelaskan bayarannya.

Jasni Hasyim, 37, tidak mampu melakukan kerja berat kerana sering mengalami kekejangan otot menyebabkan pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Dia hanya bekerja di kilang papan dengan pendapatan RM600 sebulan manakala isterinya, Bizuri Hamah, 38, tidak bekerja untuk memberi tumpuan kepada anak yang sedang membesar, khususnya anak bongsu mereka, Arisa Jasni, yang sedang sakit.

“Nampak umur masih muda. Mungkin ada yang melihat saya seperti sihat tetapi hakikatnya penyakit yang saya alami akan menyerang tidak tentu masa.

“Saya pernah alami kekejangan ketika menunggang motosikal menyebabkan tangan kiri saya patah akibat terjatuh,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini hospital belum dapat mengesan penyakit yang dihidapi yang kadang-kadang menyerang tiga hingga empat kali sebulan.

“Saya hanya bekerja di kilang kayu papan kerana mempunyai ramai kenalan yang memahami masalah kesihatan. Lagi pun ia berhampiran dengan rumah,” katanya.

Setakat ini, keluarga itu menerima bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jasni berkata, Arisa sering dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan pakar dan perlu berbelanja kira-kira RM200 bagi setiap perjalanan kerana menggunakan kenderaan awam iaitu bas.

“Pernah satu hari saya terlewat sampai ke hospital menyebabkan doktor tidak mahu merawat Arisa. Ramai yang tidak tahu saya perlu menukar empat kali bas sebelum sampai ke hospital,”
katanya.

Menurutnya, Arisa tidak mempunyai selera makan makanan biasa sebaliknya hanya diberi minum susu.

Tiga lagi anaknya yang berumur 14, 10, dan enam tahun masih bersekolah.

“Mereka juga sering tertekan apabila pihak sekolah meminta yuran dijelaskan sedangkan saya tiada wang untuk membayarnya,” katanya.

Dia juga menjelaskan tidak pernah menerima bantuan zakat daripada mana-mana pihak dan berharap ada yang sudi membantu.

Sementara itu, Bizuri berkata, keadaan suami dan Arisa yang sentiasa memerlukan perhatian menghalangnya keluar bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya bercadang bekerja di ladang dengan membawa Arisa bersama tetapi, masalah kenderaan menjadi penghalang kerana hanya memiliki sebuah motosikal.

“Ia digunakan suami untuk ke kilang dan mengambil anak dari sekolah,” katanya.