Followers

Sunday, March 31, 2013

Jayum: 'Bukan standard Dr Wan Azizah'



SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapatan bukan standard bagi Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk bertanding di peringkat Dun di Selangor.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, Dr Wan Azizah tidak sesuai bertanding di peringkat Dun kerana beliau memiliki kedudukan tinggi dalam parti.

“Sebagai pemimpin nasional, beliau lebih layak bertanding di Parlimen. Sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang, paling tidak pun beliau hanya boleh memegang jawatan Exco.

"Sedangkan dengan kedudukannya sebagai Presiden PKR, beliau layak mendapat jawatan yang lebih besar seperti menteri. Secara tidak langsung, tindakan ini hanya merendahkan standard beliau,” katanya, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Pirdaus Ismail.
 
 
Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Menurut Artikel 48(6) dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan Ahli Dewan Rakyat bertanding pilihan raya dalam tempoh lima tahun dari tarikh peletakan jawatannya.

Dr Jayum berkata, Dr Wan Azizah tidak ada masalah untuk menang pada mana-mana kerusi ditandingi berdasarkan kedudukannya sebagai presiden parti dan kedudukan PKR yang semakin kuat di Selangor.

"Adalah lebih wajar jika PKR meletakkan Dr Wan Azizah di kawasan sukar dimenangi. 

Bila menang, barulah beliau ada kelas tersendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Dr Wan Azizah pasti bertanding di kerusi beliau yakin boleh menang.

“Kalau kalah, ia akan memberi tamparan hebat kepada beliau dan parti. 

Saya pasti beliau akan diletakkan di kawasan boleh menang sebab ia akan menjadi pendorong kepada tokoh yang lain,” katanya.

Ditanya sama ada Dr Wan Azizah layak menjadi menteri besar Selangor jika Pakatan Rakyat (PR) menang di negeri itu, Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan itu bergantung perbincangan bersama PR dan mesti patuhi syarat undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Sementara itu, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, Dr Wan Azizah kurang sesuai menjadi MB kerana perjuangannya dalam politik lebih terarah membela suaminya.

“Saya tidak rasa beliau hendak jadi menteri besar sebab tidak political dan beliau dilihat bertanding untuk pastikan kemenangan Dun di Selangor saja. Jawatan Exco juga tidak sesuai memandangkan jawatannya sebagai presiden parti. 

Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pimpinan PKR untuk menilai,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, Dr Wan Azizah sesuai bertanding di kerusi mempunyai ramai pengundi wanita atau kawasan pelbagai kaum.

“Kalau pilih kawasan majoriti Melayu, beliau terpaksa bersaing sengit dengan Umno,” katanya.


-sinarharian.com

Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.