Followers

Thursday, January 31, 2013

Polis ambil keterangan Ibrahim Ali, Roslan Kassim


GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang telah merekodkan keterangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Ketua Penerangannya, Roslan Kassim bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ada pihak menganjurkan perhimpunan membakar Bible versi bahasa Melayu di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata ada pihak mendakwa perhimpunan membakar Bible itu diadakan di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth, dekat sini Ahad lepas.

Bagaimanapun polis mengesahkan tiada sebarang perhimpunan sedemikian diadakan di Padang Bandaran Bagan Luar.

Katanya polis mengambil keterangan kedua-dua pemimpin Perkasa itu semalam dan kertas siasatan mengenai kes itu telah siap.

"Kedua-duanya memberikan kerjasama yang baik dan kami akan serahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Ikrar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Pulau Pinang di sini hari ini.




Selasa lepas, polis menerima laporan daripada seorang paderi mengenai risalah bertulis “jom bakar...pesta bakar Bible Melayu demi masa depan cucu kita" yang dimasukkan ke dalam peti surat di sebuah gereja.

Abdul Rahim berkata selain dua pemimpin Perkasa itu, pihaknya turut merekodkan keterangan beberapa individu lain bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Seksyen itu memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.


- BERNAMA/Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.