Angkatan Muda Keadilan Malaysia
13 Disember 2012
AMK Desak PM Najib Razak Bersihkan Nama Dakwaan Deepak
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan
Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Perdana Menteri Najib Razak
segera bersihkan nama daripada pelbagai dakwaan serius yang dibuat oleh
ahli perniagaan Deepak Jaikishan agar imej dan kepentingan pemimpin
tertinggi badan eksekutif dan negara tidak terjejas.
PM Najib Razak perlu menjelaskan kepada
seluruh rakyat tentang penglibatan isteri PM Rosmah Mansor serta ahli
keluarga beliau terlibat dalam kes pembunuhan berprofil tinggi wanita
Mongolia Altantuya Shaariibuu dan projek penswastaan Kementerian
Pertahanan pada tahun 2005.
AMK berpendapat bahawa rakyat berhak
tahu perkara sebenar khasnya dalam isu membayar penyiasat persendirian P
Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun (SD) kedua yang
menolak kaitan Najib Razak dengan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu.
Selain itu, dakwaan Deepak bahawa
pembayaran satu sumbangan jumlah besar kepada ahli keluarga PM Najib
Razak dalam satu projek penswastaan Kementerian Pertahanan yang bernilai
RM100 juta juga perlu diperjelaskan agar kebenaran dapat dicari.
AMK menyifatkan PM Najib Razak telah
menjadi Perdana Menteri yang dihambat paling banyak skandal walaupun
tempoh beliau pegang jawatan PM adalah yang paling singkat dalam sejarah
berbanding dengan PM yang lain. Kredibiliti dan integriti Najib Razak
telah dipertikai dan jatuh merudum.
Walaupun
pelbagai dakwaan telah dibuat ke atas Najib Razak tetapi tiada sebarang
penjelasan atau jawapan diberi. Lebih mengecewakan adalah Najib Razak
pula menyalahguna institusi kerajaan untuk menekan whistleblower serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti SUARAM yang membawa isu pembelian kapal selam Scorpene ke Mahkamah Perancis.
Kesemua usaha untuk menyekat kebenaran
daripada ditegak serta cubaan mewujudkan suasana ketakutan di kalangan
orang ramai hanya terbongkarnya hati nurani Najib Razak yang bersalah.
Sekiranya Najib Razak berasa tuduhan
Deepak adalah tidak berasas, tidak benar dan berniat jahat, maka
perlunya membersihkan nama beliau dengan mengambil tindakan mahkamah ke
atas Deepak. Dengan cara ini baru boleh mengelakkan imej PM dan negara
daripada terus terjejas.
Di samping itu, sekali lagi AMK mendesak
PM Najib Razak menjawab 10 soalan yang telah dikemukakan pada Disember 3
dengan segera agar orang ramai dapat memperolehi maklumat yang
mencukupi serta halatuju politik negara kita sebelum membuat keputusan
pada Pilihanraya Umum ke-13.
PM Najib Razak tidak patut lari daripada
pertanyaan orang ramai khasnya dalam isu-isu yang berkenaan dengan urus
tadbir, pembangunan demokrasi, pengurusan ekonomi dan penentuan dasar
negara. Rakyat berharap PM yang bertanggungjawab boleh berdepan dengan
pelbagai teguran serta cadangan daripada orang ramai dan bukannya
semata-mata berlakon untuk mencari publisiti politik murahan.
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
012-2258607
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.