Hishamuddin Rais
Kehadapan anakanda suami isteri yang dikasihi,
Ayahanda harapkan anakanda sekeluarga dalam kandungan sihat walafiat bersambung zuriat dan dilimpah kurnia Allah seru sekian alam. Peluk cium ayahanda untuk cucunda yang amat amat ayahanda rindui. Amin ya rabbul alamin.
Anakandaku,
Ayahanda telah terdengar khabar berita bahawa anakanda telah menulis surat kepada yang mulia Tun. Ayahanda ada juga mendengar khabar berita bahawa anakanda telah bersusah payah cuba menerangkan duduk perkara kepada Tun. Ayahanda juga difahamkan yang anakanda menulis surat itu untuk mempertahankan nama baik keluarga kita. Amin.
Biarlah di sini ayahanda terangkan bahawa semenjak ayahanda dipaksa meletakkan jawatan, ayahanda telah mendiamkan diri. Ini bukan bermakna ayahanda tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kalau mengikut kata Tun Musaa, ini adalah elegance silence atau dalam bahasa Melayunya ‘sepi nan indah'. Ayahanda tidak sekali-kali ingin membuat heboh seperti yang dilakukan oleh Tun Madey.
Tun ini telah ke hulu ke hilir menabur fitnah terhadap ayahanda. Kebelakangan ini apabila parti United Malays National Organisation ini semakin terpencil dan semakin hilang sokongan, kelihatan semakin garang serangan Tun terhadap ayahanda. Kalau dahulu serangan Tun ini agak berlapik kini kelihatan telah datang secara terbuka.
Biar ayahanda terangkan tentang duduk perkara. Ayahanda cukup yakin satu hari nanti sejarah akan menilai kembali tentang apa yang ayahanda telah berjaya lakukan dan apa yang ayahanda cuba lakukan. Tetapi sejarah sedemikian ini bukanlah sejarah yang boleh ditulis oleh ahli sejarah kaki bodek seperti Khoo Kay Kim atau Ramlah Adam.
Anakandaku,
Setelah Anuar Ibrahim ditangkap dan ditendang dari parti kita, Madey telah mengambil masa untuk mengumumkan siapa yang akan menjadi timbalan. Begitu banyak tukang lobi datang melobi untuk jawatan ini. Madey telah menelefon ayahanda sebanyak tiga kali. Ayahanda mengambil sikap ‘buat dek' sahaja kerana ayahanda tahu sangat sikapnya.
Sikap 'buat dek' ini telah menjadikan Madey gelabah. Justeru, si Madey ini telah menggunakan arwah seorang bekas pemimpin United Malay Nasional Organisation untuk datang menemui ayahanda. Di sini Madey tersilap besar kerana ayahanda melihat pemimpin ini hanya bertaraf bell boy untuk Lim Koh Tong. Ayahanda tak ambil pot tentang apa yang dikatakan oleh pemimpin ini.
Dari seorang ahli kabinet, ayahanda mendengar bahawa Tun Madey telah menyinga kerana ayahanda tidak memakan umpan pancingnya. Ayahanda tahu sangat sikap Madey ini, jika kita tunduk maka kita akan kena pijak. Tidak lama selepas lawatan pemimpin itu, Madey telah mengutus Azeez Samsudeen. Azeez juga membawa pesanan yang sama, Madey ingin berbincang dengan ayahanda tentang hal timbalan.
Ayahanda amat sedar bahawa ketika itu imej Madey amat hodoh sekali di kalangan orang Melayu. Sesudah sahaja Anuar dipecat, gerakan Reformasi telah meletus. Anak-anak muda ketika ini menuntut Madey berambus dari muka bumi Malaysia. Gerakan Reformasi 1998 telah berjaya mengadakan demonstrasi hampir setiap minggu di Kuala Lumpur.
Orang Melayu amat yakin dan marah dengan Madey. Orang Melayu tahu bahawa Anuar telah difitnah oleh Madey. Tuduhan liwat itu sebenarnya dirancang hanya untuk menjadi alasan. Tuduhan liwat ini juga bertujuan mengolah persetujuan orang ramai untuk menghina Anuar. Madey telah menggunakan mata-mata upahan dan menggunakan tuan hakim di mahkamah. Macai, kaki bodek dan barua-barua telah ke hulu ke hilir membuat cerita dongeng.
Biar ayahanda kisahkan di sini. Ketika arwah Megat datang menemui ayahanda si Megat ini, secara jujur telah berkata bahawa dia sendiri tidak percaya tentang kes itu. Tetapi si arwah ini tidak ada pilihan kerana Madey ada menyimpan fail kes besar yang dikatakan si Megat ini terlibat.
Kalau anakanda hendak tahu siapa sebenarnya si Madey sila bertanya dengan Tun Musaa ketika dia masih sihat lagi. Anakanda tahu, Tun Musaa sendiri pernah diugut oleh Madey agar meletak jawatan jika tidak Tun Musaa akan didakwa merogol gadis bawah umur. Anakanda jangan terkejut menerima berita ini. Rakyat Malaysia mungkin tidak tahu sangat kesah ini walhal perkara ini telah ditulis dalam tesis Phd seorang pelajar dari Korea Selatan tahun lalu.
Cerita Tun Musaa akan dituduh merogol ini juga diketahui oleh ramai murid-murid bekas pelajar Kolej Melayu. Surah ‘rogol' ini telah mereka dengar dari mulut presiden murid tua Kolej Melayu sendiri.
Dalam masa yang sama di zaman Reformasi memang ramai ahli-ahli parti kita termasuk Zahiid Hameedy sendiri yang mahu Madey ini berambus. Mungkin ketika itu anakanda sering ‘berdengung' di Turf Tavern Oxford atau sibuk cross dressing untuk Kinky Gelinky di Heaven maka anakanda tidak mengikuti perkembangan politik tanah air. Di zaman anakanada masih seronok ‘beryamseng' ketika inilah anak-anak muda Melayu bertempur dengan mata-mata upahan Madey di Batu Road. Anak-anak muda ini sedang melaungkan "undur Madey undur".
Anakandaku yang dikasihi,
Biar ayahanda berkata jujur di sini, bukan ayahanda tak sedar Madey melantik ayahanda sebagai timbalan dengan niat busuk lagi hina. Madey mahukan satu imej Islam dalam pentabiran negara. Madey mahukan sosok ayahanda untuk meredakan kebencian orang Melayu terhadap dirinya.
Ayahanda dilihat bersopan santun, memiliki didikan agama, dari keluarga alim ulama dan penuh dengan budi bahasa. Kehadiran ayahanda sebagai timbalan akan memberikan imej Melayu Islam kepada kabinet half past six Mahathir. Dengan terlantiknya ayahanda maka orang ramai akan melihat kerajaan ini memiliki sifat kemelayuan berbanding dengan Madey yang tidak diketahui asal usulnya.
Sebelum menerima lantikan ini ayahanda anak beranak bersama arwah isteri kesayangan ayahanda telah berbincang. Nona yang sekarang menjadi isteri anakanda dan ibunya agak keberatan untuk menerima lantikan ini kerana mereka tahu niat busuk si Kitul ini.
Orang perempuan melihat bukan dengan mata tetapi dengan hati. Sekoleh air todi telah diketahui pokok yang mana asal usulnya. Sekali Madey membuka mulut akan diketahui tongkang SS Rajula atau tongkang SS Sidambaram.
Tetapi anakanda Kamaluddeen, abang si Nona melihat dari sudut yang berbeza. Si Kamaluddeen ini mempunyai niat untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Dia telah dididik oleh kawan ayahanda dalam dunia perniagaan. Anak jantan ayahanda yang seorang ini berangan-angan untuk menjadi Soros Melayu. Dia ingin membuka perniagaan sehingga boleh mengekspot bom nuklear. Kamaluddeen dan kawan perniagaan ayahanda melihat lantikan ayahanda ini sebagai peluang besar untuk meluaskan perniagaan.
Ayahanda juga tahu ketika ini anakanda sedang mengurat dan sedang memasang jerangkap samar untuk mencari pasangan yang boleh membantu tangga politik anakanda. Jangan anakanda tidak sedar bahawa ayahanda tahu yang anakanda pada mulanya telah cuba-cuba merapati Anuar. Anakanda ketika itu sedang memerhatikan siapa anak siapakah yang akan dijadikan tangga politik rapid express. Kroni kumpulan Itos anakanda yang penuh idealisme pada ketika itu belum lagi menjadi ACM Libera yang rakus mengumpul harta.
Anakanda yang dikasihi,
Di sini ayahanada ingin memberitahu bahawa Madey ini adalah kaki pembohong dan pembongak. Cakap dan kata-katanya tidak boleh dipakai. Jika anakanda kurang yakin tentang apa yang ayahanda tulis ini sila bertanya hal ini dengan Ku Lee atau dengan Zahiid. Mereka akan membuka surah bagaimana Madey ini akan berbohong dalam kabinet. Menafikan apa saja walau pun ada bukti sahih di depan mata.
Madey sengaja mengatakan orang Melayu mudah lupa. Ini pembohongan besar. Orang Melayu tidak pernah lupa akan tongkang SS Rajula. Malah orang Melayu dalam kitab sejarah bangsanya - Salalatus Salatin - telah merakamkan watak-watak Kitul dan Keling Mendeliar yang kerjanya hanyalah menabur fitnah sehingga runtuhnya kerajaan Melayu Melaka.
Ayahanda merasa sedih bukan kerana ayahanda dituduh bertanggungjawab membawa keruntuhan kepada United Malays National Organisation. Ayahanda bersedih kerana masih ramai orang Melayu yang dapat dikelentong dan ditipu oleh Mahathir Muhamad.
Anakandaku yang dikasihi,
Ayahanda juga merasa sedih apabila melihat anakanda telah ditibai oleh Madey berkali-kali. Anakanda dikatakan masih berhingus. Apakah Madey tidak sedar bahawa berhingus bukan satu jenayah.
Ayahanda tidak hendak mengungkit cerita lama tentang bagaimana Madey telah memaksa Anwar yang ketika itu menteri kewangan untuk mengeluarkan dana negara untuk menyelamatkan perniagaan Merzan. Apakah anakanda telah mendengar surah Lebai Desas bin Haji Desus tentang percubaan Merzan hendak mencekik lehernya sendiri apabila syarikatnya bungkus.
But my dear son in law, this is not my style . What is the because Madey menyerang anakanda? Ini kerana Madey melihat kemunculan anakanda di persada politik telah menggelapkan masa depan politik anaknya.
Kerana semua ini ayahanda menyokong seratus peratus idea gempaq anakanda. Hanya anakanda yang berkelulusan PPE dari Oxford sahaja yang dapat memikirkan penubuhan tribunal untuk Madey. Tribunal kesalahan Madey terhadap rakyat Malaysia ini wajib diadakan secepat mungkin. Ayahanda berharap dengan wujudnya tribunal ini maka nama keluarga kita akan digilap bersinar kembali.
Ayahanda akhiri surat ini dengan harapan agar anakanda rapat-rapatlah kembali dengan Anuar. Si Anuar ini pasti akan mengingati peranan anakanda yang memungkinkan dia dibebaskan. Malah semua rakyat Malaysia tahu tanpa bantuan anakanda mustahil Anuar akan mendapat pasport untuk ke Jerman berubat. Wassalam dan peluk cium untuk cucu tersayang.
Malaysiakini/Shalehudin
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.