Saya
pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang
akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap
Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA,
yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.
Pertemuan
diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang dipinjamkan dari
Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua kolej kediaman),
serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha Parlimen KPT. Menteri
ketika itu Dr Shafie Salleh.
Tujuannya,
untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan
mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan lebih
dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).
Mereka
bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38,
Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan
masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk
dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.
Mesyuarat
turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan percubaan
seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti calon yang
bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat mengatur
strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan saingannya, di
Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib Canselor dan pegawai
HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil sebagai pengadil
pertandingan.
Bukan
itu saja, dalam satu pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno
di PWTC (selepas didedahkan Siasah) ke Kolej Kediaman Pelajar Keris
Mas, UKM, pada 13 September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan
kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa
pro-Umno.
Selepas
tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik
ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan
raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka "bermain kotor" bagi
menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang tersisih
akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!
Kini,
berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah.
Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di
Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT
tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.
Melalui
Ops 2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan
kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA), Shahlan Ismail
dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai Khas
Perdana Menteri, bersama "strategis" lainnya, berpusat di bilik
operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai
perancangan besar.
Nama-nama
lain yang terbabit sama ialah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja
Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim;
Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abd Malik; SAC Mohd
Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM bersama tiga pegawai polis
Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia
Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan pemimpin Pemuda-Puteri
Umno.
Menerusi
dokumen yang didedahkan, Ops 2020 "berperanan untuk memastikan
pemilihan kampus kali ini (sesi 2012/13) tidak memberi sebarang
KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum
Ke-13". (Anda sendiri boleh tafsirkan apa definisi terbaik kepada
"kebangkitan moral kepada parti pembangkang").
Justeru,
PRK yang sepatutnya perlu dijalankan selepas minggu kedua Mac 2012
ditangguhkan ke tarikh yang belum dipastikan. (Ini bermakna, untuk
kebanyakan kampus, sudah empat bulan Majlis Perwakilan Pelajar-- MPP --
tidak lagi berfungsi). Daleh penangguhan itu berbeda-beda di antara
universiti. Apabila diajukan kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK
diserahkan kepada setiap kampus bagi menentukannya.
Sedangkan
Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Shahlan inilah yang akan
menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti dinyatakan dalam objektif
keempatnya, iaitu bagi "memastikan mahasiswa yang menyokong kerajaan
memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di seluruh negara".
Dalam
mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP IPTA, pada 25 Januari 2012, di
Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke
bulan April "bagi memastikan segala persiapan ke arah kemenangan
dirancang dengan rapi".
Setpol
Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang
lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan "sangat bermasalah", iaitu
Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti
Pertanian dan UKM.
Saya
tidak berhasrat untuk memperincikan kandungan minit mesyuarat yang
sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap sama, seperti tujuh tahun lalu.
Pihak Umno, seperti juga parti-parti politik lain, boleh saja melakukan
proses perkaderan di kalangan mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan
dan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK.
Masalah
besar timbul apabila Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera
kerajaan, seperti Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi
apabila membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan
Naib Canselornya, di semua 20 IPTA.
Bukankah
HEP itu sendiri berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK,
yang sepatutnya bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan
Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada
semua mahasiswa, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.
Lebih
mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata
kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum
dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar "pemilihan kampus tidak
memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum
PRU13".
Dengan
itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas PRU13. Juak-juak
Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya umum, momentum PRK itu
mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Soalnya,
apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun ini, maka mahasiswa
terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama hampir setahun? Waduh!
Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan pelajar dengan
alasan tidak munasabah dan terlalu sarat dengan motif politik?
Sepanjang
mengikuti perkembangan politik kampus sejak tahun 80-an, saya tidak
pernah menjangka pemimpin Umno-BN akan bertindak sebebal ini. Jika
anak-anak muda kita di kampus pun dipolitikkan semahunya, apakah anda
masih mengharapkan PRU13 ini akan berjalan secara adil, bersih dan
bebas?
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.