Followers

Friday, January 27, 2012

Mengapa saya pilih DAP – Oleh Fairuz Azhan



Baru-baru ini satu sidang media telah diadakan di Ipoh untuk memperkenalkan saya dan saudari Dyana Sofya yang membuat keputusan untuk menyertai DAP.

Berita tentang kami sebagai dua orang graduan undang-undang dari UiTM menyertai DAP bagaikan telah mencetuskan fenomena dan pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat am.


Bukan sahaja saya datang daripada sebuah universiti Bumiputera tetapi saya bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh Melayu di Ipoh yang cukup terkenal. Malah alma mater saya, Sekolah Tuanku Abdul Rahman dahulu dikenali sebagai MSS atau pun Malay Secondary School.


Saya bukanlah golongan orang Melayu yang ‘tak bersyukur’, malah sebaliknya. Segala pendedahan dan ilmu yang saya perolehi saya guna pakai untuk berfikir bagaimana untuk menambah baik keadaan di negara kita.


Salah guna kecerdikan

Secara peribadi, ini saya lihat amat berbeza dengan golongan elitis Melayu UMNO yang menggunakan pendidikan tinggi mereka, dan kecerdikan mereka untuk menindas dan memanipulasi rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.


Kepentingan mereka adalah untuk mewujudkan ‘inferiority complex’ di kalangan masyarakat Melayu supaya orang ramai terus bergantung kepada parti politik mereka dan parti itu dengan sendirinya akan terus relevan.


Jika orang Melayu benar-benar diperkasakan, maka seharusnya mereka tidak perlukan UMNO atau pun mana-mana parti politik untuk ‘membela’ mereka. Orang Melayu yang berdikari dan mandiri tidak memerlukan ehsan politik untuk hidup bebas dan merdeka.


Jika orang Melayu hendak diperkasa, mengapa mereka perlu mendapat surat pengesahan Ketua Bahagian UMNO untuk mendapat projek? Ini hanya mencipta mentaliti pencacai atau pun rent seeker di kalangan orang Melayu, dan bukan memperkasakan mereka.


Lantas, pimpinan UMNO dan konco-konco mereka hanya mencipta politik perkauman dan politik ketakutan di kalangan masyarakat Melayu dan masyarakat majmuk di Malaysia demi kepentingan parti mereka, dan bukan demi kepentingan orang Melayu khususnya atau pun rakyat Malaysia keseluruhannya.


Saya pendirian teguh bahawa rakyat Malaysia dan masyarakat Melayu khususnya harus dibebaskan daripada pemenjaraan minda yang dicipta propaganda UMNO. Bukakanlah hati dan minda, dan carilah kebenaran. Dan jika kita berani untuk membuka hati dan mata kita, kita akan dapati bahawa DAP merupakan satu parti yang baik untuk rakyat Malaysia termasuklah orang-orang Melayu.


DAP sesuai untuk semua

Walhal dari dulu lagi DAP sering menjadi mangsa fitnah proganda UMNO yang tidak masuk akal seperti ia adalah parti untuk kaum Cina sahaja, ia parti komunis, ia penghancur Melayu dan sebagainya.


Tetapi tahukah kita sebenarnya bahawa tujuan asal penubuhan DAP tidak ada kena-mengena dengan tohmahan itu semua?


Deklarasi Setapak 1967 dengan jelas membuktikan tujuan penubuhan DAP secara rasmi adalah untuk mempertahankan hak-hak semua rakyat termasuk orang Melayu seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Ini temasuklah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi, menzahirkan kedaulatan Raja, dan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu.


Slogan “Malaysian Malaysia” atau “Malaysia untuk rakyat Malaysia” secara jelas memperlihatkan keikhlasan DAP untuk memastikan semua orang berdiri sama tinggi duduk sama rendah, dan bagi yang benar-benar memerlukan, mereka wajib dibantu tanpa mengira kaum dan agama.


Namun, sejak lebih 45 tahun, slogan itu sering diputarbelitkan maksudnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab, kononnya ia ingin menghancurkan dan membinasakan orang Melayu. Ini adalah salah sama sekali.


“Malaysia untuk rakyat Malaysia” bermaksud di samping hak Bumiputera dilindungi dan dijamin, pemerintah tidak boleh menindas atau merampas hak-hak orang lain. Kaum-kaum bukan Bumiputera adalah warga negara yang sah dan ada hak di bumi Malaysia milik bersama kita ini.


Baling batu sembunyi tangan

Apabila DAP mempersoalkan penyelewengan, rasuah, kronisme, nepotisma dan salah guna kuasa oleh pimpinan UMNO, maka tukang karang mereka memutarbelitkan isu dengan mengatakan ia adalah serangan terhadap orang Melayu dan Bumiputera. Padahal ia bukanlah serangan perkauman tetapi pendedahan tentang para pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak telus mengkhianati amanah rakyat semata-mata mahu mengkayakan diri, keluarga dan kroni mereka.


Sikap baling batu sembunyi tangan ini telah lama membantutkan perpaduan antara rakyat. Walau pun ada kalangan ahli UMNO sendiri yang benci dengan kerakusan dan ketamakan pemimpin mereka, mereka masih takut untuk berubah kerana percaya dengan fitnah kononnya DAP dan Pakatan Rakyat mahu menghancurkan kaum Melayu.


Rakyat khususnya orang Melayu perlu sedar bahawa DAP adalah sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang yang mengajak semua rakyat Malaysia tidak kisah bangsa atau agama apa pun untuk menyertai perjuangan demokrasi sosial – keadilan dan peluang saksama untuk semua.


DAP mahu membantu Pakatan Rakyat mencipta usaha tulen pemerkasaan individu melalui ketelusan dan semangat berdikari jaya diri, dan setiap ahli parti dianggap sama rata dan sama-sama menyumbang ke arah Malaysia yang lebih baik.


Beza buruk dan baik

Jika pimpinan UMNO-BN tidak mahu isytihar harta menteri, timbalan menteri, menteri-menteri besar dan ketua menteri serta para exco negeri, DAP mahu dan telah pun mengisytiharkan harta mereka.


Mengapa isytihar harta penting? Supaya rakyat dapat menjadi hakim dengan mengetahui asset dan pendapatan pemimpin mereka pada waktu mula memerintah dan bagaimana harta tersebut boleh berkurang atau bertambah selepas tempoh-tempoh pemerintahan.


Ini adalah penting kerana kita tahu pernah ada seorang guru yang menjadi pemimpin negeri, kemudian dalam masa beberapa tahun telah menjadi jutawan. Sedangkan semua orang tahu bahawa pemimpin diharamkan membuat kekayaan apabila diberi amanah mentadbir negeri atau negara.


Jika UMNO-BN mengamalkan sistem tender tertutup untuk kepentingan kroni mereka, DAP mengamalkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT). Ini amat penting kerana sistem tunduk kepada kroni sentiasa menyebabkan rakyat menderita seperti syarikat pengendali tol lebuh raya masih terus mengutip tol walau pun telah mendapat keuntungan besar atau pun penjana tenaga bebas (IPP) masih diberi subsidi besar walau pun susbisidi keperluan harian seperti minyak dan gas untuk rakyat semakin dikurangkan.


Jika UMNO-BN mengikut garis politik perkauman, DAP adalah parti yang terbuka yang memperjuangkan semua rakyat Malaysia. DAP tidak akan menggunakan isu kaum dan agama untuk mempertahankan dasar-dasarnya. Sebaliknya pimpinan UMNO telah banyak kali cuba menutup salah guna kuasa dan penyelewengan atas nama agama dan kaum.


Ini langit dan bumi bezanya di antara DAP dan UMNO-BN.


Idaman saya

Dari dulu saya mengidamkan parti yang memperjuangkan satu impian di mana rakyat Malaysia semua boleh bersatu, hidup aman damai, bebas daripada perkauman atau pun ketakutan. Saya berjumpa perjuangan tersebut dalam DAP.


Memang DAP bukan sesuatu yang sempurna. Namun tidak ada apa yang sempurna dalam dunia ini. Yang mungkin ada adalah yang terbaik di antara yang serba kekurangan. Di situ saya nampak peranan DAP. Dasar demokrasi sosialnya mengutamakan rakyat dan menjaga kebajikan mereka.


Lihatlah di Pulau Pinang sebagai model untuk masa depan Malaysia yang lebih baik. Dengan urus tadbir CAT, ia merupakan negeri yang paling banyak menerima pelaburan atas jaminan dan pujian Transparency International serta laporan Ketua Audit Negara.


Melalui urus tadbir CAT yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng selaku pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang, orang Melayu paling banyak mendapat kontrak kerajaan secara tender terbuka dan telus.


Dengan pentadbiran CAT, hutang negeri sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh BN, iaitu RM630 juta hanya menjadi RM30 juta (berkurangan 95%) dalam tiga tahun sahaja. Dan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan penjimatan sedemikian? Kemakmuran yang datangnya daripada ketelusan ini disalurkan terus kepada rakyat berpendapatan rendah di mana ia telah menjadi negeri pertama di Malaysia yang membasmi kemiskinan tegar secara 100%!


Bukankah ini yang dimahukan masyarakat Malaysia? Mengapa orang Melayu hendak ditakutkan dan dikecilkan sedangkan mereka boleh diperkasa dan diperhebatkan oleh sebuah parti politik yang ikhlas berjuang untuk semua rakyat Malaysia? Dan parti itu ialah DAP yang kini berjuang bersama dengan PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang sama-sama mahu menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan pimpinan UMNO-BN.


Malaysia perlu diselamatkan
Apa-apa hal, saya amat yakin bahawa Malaysia perlu di selamatkan. Trend menunjukan negara kita bakal bankrap menjelang 2019 jika isu hutang negara, kos hidup yang semaking meningkat, perkauman semakin menebal, rasuah berleluasa dan masyarakat dipenjara minda tidak diatasi segera.


Saya amat komited sebagai ahli DAP kerana saya yakin dengan perjuangan parti ini. Lihatlah tokoh-tokoh DAP. Lim Kit Siang selama ini tidak mendapat apa-apa, cuma menjadi mangsa fitnah dan tomahan serta mangsa tahanan tanpa bicara. Karpal Singh, yang kini tidak mampu menggerakkan tangan mahu pun kakinya dek kemalangan tetapi terus memperjuangkan nasib masyarakat yang tertindas. Inilah namanya komitmen dan dedikasi, ikhlas berjuang untuk rakyat walau pun ianya mengudang kesusahan kepada hidup mereka.


Saya sampai hari ini masih tidak faham di mana rasisnya DAP. Pengerusinya Karpal Singh, naib-naib Pengerusi terdiri dari pelbagai kaum, termasuk Tunku Abdul Aziz. Keahliannya terbuka kepada semua.


Jadi, mana perkaumannya? Apakah UMNO, MCA dan MIC yang masing-masing hanya membenarkan satu kaum menyertai parti mereka itu bukan rasis? Apakah rasis jika mendedahkan salah guna kuasa dan rasuah yang menyebabkan rakyat menderita?


DAP bukan sahaja pilihan untuk saya tetapi rasanya ia sesuai untuk semua orang termasuk orang Melayu. Ia hanya sebuah wadah politik untuk mencapai cita-cita murni mewujudkan keadilan untuk semua, peluang saksama serta negara berkebajikan tanpa mengira kaum. –
Roketkini.com

1 comment:

  1. Jika jernih fikir saudara tidak memilih DAP untuk bergerak dalam politik. Tak nak ikut jejak Rasulullah? Tak lama lagi org.Islam akan sambut kelahiran Rasulullah. Macam mana nak dapat Syafaat Rasululullah kalau tak mahu ikut jejaknya.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.