Followers

Saturday, September 10, 2011

(Video) MPN : Mat Sabu Berhak Beri Pendapat Tentang Sejarah Negara - Ditulis oleh Hadri Yaziz



PUTRAJAYA : Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Zakri Abdul Hamid menyatakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapatnya berkaitan sejarah negara.

Namun, katanya adalah menjadi tanggungjawab badan-badan seperti MPN dan sejarawan untuk memberikan intepretasi yang tepat kepada masyarakat.

"Dalam negara demokrasi, itu hak beliau. Orang boleh menyuarakan apa-apa pandangan. Tapi samada pandangan itu betul atau tidak, itu tanggungjawab badan-badan seperti MPN untuk memberikan sumbangan," jelas Zakri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Menurut Zakri, pihaknya mengambil pendirian untuk bersikap neutral serta tidak mahu memberi respon politik terhadap kenyataan Mat Sabu itu.

"Kita ingin membetulkan fakta dan intepretasi yang tidak betul. Itu yang kita mahu buat. Respon kita bukan aspek politik," tambahnya.

 Mat Sabu didakwa memesongkan fakta sejarah dengan mengangkat Ahmad Indera atau Mat Indera yang menganggotai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dan bukan anggota polis yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong.

Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan yang dirinya cuba mengaitkan perjuangan Mat Indera dengan komunis seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia 27 Ogos lalu.

Sementara itu bekas profesor di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam yang memberi respon terhadap penulisan buku 'Pengukir Nama Johor' (2004) berkata, Allahyarham Ismail Adnan hanya melontarkan pandangan tentang Mat Indera.

Malah Ramlah berkata Allahyarham tidak langsung menyebut anggota Rejimen ke 10 PKM itu sebagai pejuang kemerdekaan.

"Macam buku yang menjadi kontroversi, penulis itu Allahyarham Ismail cuma membuat persoalan. Dia tidak menulis ayat yang jelas bahawa Mat Indera itu seorang pejuang. Dia cuma melontarkan pandangan.

"Jadi itu adalah pandangan beliau. Itu bukan tanggungjawab pihak-pihak yang menerbitkan buku itu," katanya.
Ujarnya mungkin penulis memperolehi banyak maklumat sehingga mengakibatkan dirinya meragui dasar perjuangan Mat Indera.

Sehubungan dengan itu Ramlah berkata aspek akdemik di negara ini sentiasa menggalakkan penyelidikan dan percambahan minda untuk memperbaiki bahan ilmiah dari semasa ke semasa.
TVS News

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.