Followers

Friday, July 29, 2011

SPR pertimbang tambah hari berkempen, kata Wan Ahmad Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 PETALING JAYA, 29 Julai ─ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti secara serius cadangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar tempoh kempen pilihan raya dipanjang berbanding sebelum ini.
 
Bagaimanapun menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad (gambar), cadangan tempoh kempen selama 21 hari tidak mungkin boleh dilaksanakan.
“Kita sedang melihat perkara ini, kita lihat (cadangan) tempoh kempen 21 hari ini dengan serius dan kita perlu mendapatkan respons semua pihak termasuk pihak berkuasa.

 
“Tapi tidak mungkin kita boleh berkempen selama 21 hari, biarlah tempoh yang sesuai mungkin 15 hari,” katanya pada forum Undang-Undang Pilihan Raya, SPR dan Pembaharuan Pilihan Raya anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).
 
Tambah beliau, pihaknya juga berharap media swasta memberikan laporan yang adil kepada semua parti yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
 
Enam tuntutan Bersih 2.0 yang lain adalah gunakan dakwat kekal, membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
 
Bagaimanapun tegas Wan Ahmad, Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah saluran rasmi kerajaan untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat dan tidak boleh “diganggu.”
 
“Media awam iaitu RTM adalah saluran rasmi kerajaan, kerajaan telah isytiharkan RTM adalah untuk salurkan maklumat kepada rakyat.
 
“Dan kerajaan tidak mahu ia digunakan untuk menyebarkan berita-berita palsu dan tidak benar,” katanya.
 
Jelas beliau, bagi media swasta pihaknya akan menasihatkan pemilik agar menyiarkan laporan yang adil.
 
Ia termasuk media elektronik dan media cetak.
 
“Media-media swasta ini kami hanya boleh merayu dan menasihatkan mereka agar membuat laporan yang adil, kami tiada kuasa untuk arahkan mereka.
 
“Kita hanya boleh nasihat dan ia terpulang kepada pemilik sebab kita tidak boleh paksa mereka,” kata Wan Ahmad.
 
Beliau menambah, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan agens-agensi media mengenai perkara itu.
 
Sementara itu, peguam terkenal Datuk Seri Shafee Abdullah menyokong cadangan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan agar jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji sistem pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.