Semua aktiviti, termasuk program latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini dihentikan serta-merta berikutan penularan jangkitan ‘Adenovirus’ di premis itu sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mengesahkan sehingga jam 10 pagi semalam, seorang pelatih Konstabel Mohd Azizan Azirid (gambar), 25, dari Kuala Kangsar, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan itu, manakala dua lagi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
“Seramai 28 pelatih turut menerima rawatan di HKL, selepas dikesan mempunyai tanda jangkitan wabak itu, termasuk batuk dan demam.
“PDRM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi membendung jangkitan wabak ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Seramai 1,945 pelatih mengikuti latihan asas kepolisan, masing-masing 993 pelatih inspektor dan 952 pelatih konstabel di pusat itu.
Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka bilik gerakan dan talian khas 03-26882009 bagi memudahkan orang ramai, terutama ahli keluarga pelatih mendapatkan perkembangan terkini berhubung masalah itu.
“Setakat ini, 226 pelatih diasingkan untuk pemerhatian dan rawatan lanjut oleh Kementerian Kesihatan, malah mereka tidak dibenarkan menerima pelawat, termasuk ahli keluarga bagi mengelak penularan wabak itu,"
Selain pelatih, PULAPOL Kuala Lumpur turut mempunyai 854 pegawai dan kakitangan bertugas.
"PDRM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi membendung jangkitan wabak ini," katanya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan akhbarnya berkata, 210 pelatih didapati mengalami gejala ‘Influenza Like Illness’ (ILI) di mana dua pelatih masih di Unit Rawatan Rapi (ICU), 26 pelatih wad biasa dan 182 pelatih diasingkan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan pelatih yang meninggal dunia jam 8.30 malam kelmarin mengalami gejala ILI sejak dua minggu lalu.
“Dua kes yang kini dirawat di ICU didapati positif jangkitan ‘Adenovirus’ manakala pelatih yang lain dilaporkan stabil.
“Hasil siasatan lapangan menunjukkan terdapat jangkitan ‘Adenovirus’ di kalangan pelatih di PULAPOL berdasarkan keputusan makmal 18 daripada 20 sampel dari tekak diambil mendapati 90 peratus adalah positif.
“Disamping itu, tiga daripada empat sampel najis juga positif ‘Adenovirus’. Sehubungan itu, kawalan dan pencegahan dalam kalangan pelatih PULAPOL akan diteruskan setiap hari,” katanya.
Liow berkata, kejadian itu hanya terhad di kalangan pelatih di PULAPOL dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penularan jangkitan ini di dalam masyarakat.
“Kementerian sudah mengambil tindakan kawalan termasuk mengasingkan kes tidak serius di pusat latihan dan tidak membenarkan pelatih keluar dari institusi latihan ini serta pelawat tidak dibenarkan untuk melawat pelatih,” katanya. -BH
katanya.
Polis mati dek kencing tikus
SEDIH...Zamilah (kiri) dan anak perempuan, Norhidayah menunjukkan MyKad arwah Azizan yang maut akibat virus kencing tikus.
KUALA KANGSAR: “Saya sangka dia demam panas akibat penat menjalani latihan dan tidak menyangka dia dijangkiti virus kencing tikus,” kata Zamilah A’ala, 52, ibu Mohd Azizan Azirid, 25, pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang meninggal dunia akibat diserang bakteria leptospirosis (kencing tikus) dan virus adeno, malam kelmarin.
Menurutnya, Azizan yang mengikuti latihan di Pulapol Jalan Semarak, Kuala Lumpur pernah menghubunginya mengadu demam panas selang seminggu selepas mula menjalani latihan di Pulapol, tetapi masih meneruskan latihan.
“Saya terkejut apabila dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Mac lalu selepas pengsan ketika latihan kawat kaki.
“Apa yang saya tahu dia mengalami demam panas, cirit-birit dan batuk sebelum meninggal dunia,” katanya.
Zamilah yang ditemui di rumahnya di sini, semalam, berkata, pada mulanya doktor gagal mengesan penyakit arwah sehingga anaknya itu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana paru-parunya mengalami jangkitan bakteria.
“Sepanjang berada di ICU, Azizan bergantung kepada mesin pernafasan. Selain kurang bercakap dan demam panas melampau, dia turut hilang selera makan menyebabkannya kurus.
“Ketika dirawat di hospital, arwah sempat memberitahu dia tidak mahu meneruskan latihan di Pulapol kerana tidak tahan dengan latihan,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, arwah turut bimbang namanya akan disenarai hitam jika gagal menamatkan latihan sekali gus menyukarkan dia memohon jawatan lain dalam kerajaan.
Menurutnya, sebelum menerima tawaran sebagai pelatih konstabel polis itu, arwah bekerja sebagai pembantu jurujual di kedai runcit di pekan Kuala Kangsar sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Zamilah berkata, dia tidak menggalakkan arwah bekerja sebagai polis kerana pekerjaan itu bahaya namun akur kerana arwah sudah lama menanti untuk mendapatkan pekerjaan dalam kerajaan.
Difahamkan Mohd Azizan yang mula mendaftar sebagai pelatih konstabel di Pulapol di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 1 Januari lalu, dimasukkan HKL pada 1 Mac lalu selepas tidak sedarkan diri.
Selepas lapan hari, arwah yang berasal dari Kampung Sayong Tebing, Kuala Kangsar, di sini, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 malam kelmarin, akibat serangan virus bahaya itu. -hm
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.