KUCHING : Pilihanraya negeri yang akan dihadapi dalam masa terdekat ini adalah kesempatan terbaik bagi rakyat Sarawak mengubah nasib diri menjadi lebih baik dan maju ke hadapan.
Kerakusan kepimpinan negeri Barisan Nasional atau BN diketuai Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumpul kekayaan dengan mengaut keuntungan dari hasil negeri dengan berlaku penyelewengan termasuk rasuah di sepanjang pentadbirannya harus menyedarkan rakyat bahawa perubahan perlu dilakukan demi kebaikan bersama.
Ketika berucap dalam konvensyen Parti Keadilan Rakyat atau PKR Sarawak di sini hari ini Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri , Baru Bian berkata Ketuanan Rakyat yang diperjuangkan Pakatan Rakyat atau PR sememangnya nyata kerana rakyatlah yang berkuasa menentukan tampuk kepimpinan di negeri Sarawak.
Dengan kuasa rakyat ini serta senario politik negara yang berubah masa kini, katanya PR yakin adalah tidak mustahil BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya negeri ke 10 akan datang.
Katanya, kehidupan serba mundur yang ditempohi oleh ramai masyarakat etnik Sarawak selama ini adalah bukti nyata BN tidak menjaga kebajikan rakyat dan hanya mementingkan golongan tertentu serta kroni dari kalangan pemimpin mereka.
Jelasnya, kenaikan harga barang seperti petrol dan makanan menyebabkan kehidupan rakyat semakin tertekan ditambah dengan ketamakan Ketua Menteri dan pemimpin BN lain yang menerajui negeri berpuluh tahun mengaut kekayaan dari hasil negeri menjadikan rakyat terus menerus mundur dan tidak terbela.
Adalah malang ujarnya Sarawak sebagai negeri yang punya banyak sumber dan terbesar di Malaysia menjadi mangsa barisan pemimpin seperti ini yang semudahnya merampas harta rakyat seperti tanah adat atas nama pembangunan.
Baru Bian berkata, PR menawarkan pilihan lebih baik kepada rakyat dan akan memperjuangkan kepentingan rakyat apabila diberi mandat mengambilalih pentadbiran negeri selepas pilihanraya negeri nanti.
Baru Bian berkata, PR memberi fokus terhadap lima isu dalam pilihanraya negeri ini iaitu menghapuskan kemiskinan, meningkatkan pembangunan insfrastruktur di bandar dan pendalaman, memajukan bidang pendidikan, menghapuskan amalan rasuah, kronisme dan nepotisme serta mengembalikan tanah NCR kepada rakyat.
Keengganan Abdul Taib menyahut cabaran debat dengan pelbagai alasan tambahnya merupakan jawapan betapa Ketua Menteri itu cuba mengalihkan tumpuan terhadap segala salah laku dan penyelewengan yang berlaku di sepanjang tempoh kekuasaannya.
Tsunami politik yang berlaku pada 2008 adalah bukti rakyat di negara ini dahagakan perubahan dan rakyat Sarawak perlu melakukan perubahan dengan menyingkirkan regim Abdul Taib dalam pilihanraya negeri ini ke arah mengecapi kehidupan lebih sempurna dan masa depan yang terjamin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.