Followers

Sunday, February 13, 2011

Pulau Pinang Sedia Bekerjasama Dengan Pemandu Menjayakan 95 EPP - Ditulis oleh Roy






KOMTAR 13 FEB : Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dalam menjayakan 95 Projek Permulaan (EPP) yang dirancang untuk Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulas kenyataan Pemandu dalam portal berita Bernama semalam bahawa Pulau Pinang tidak dipinggirkan, malahan Pemandu telahpun merancang 95 EPP yang akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun.

"Pulau Pinang mengalu-alukan jaminan Pemandu bahawa Pulau Pinang tidak dipinggirkan daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan kerajaan negeri juga bersedia untuk diberi penerangan agar dapat bekerjasama dan mengkordinasikan perlaksanaan projek EPP di Pulau Pinang," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini kerajaan negeri tidak menerima apa-apa maklumat berkenaan di mana dan apa 95 projek EPP ini, selain projek dalam sektor pelancongan dan sektor elektrik dan elektronik.

Selain itu, beliau menyatakan Pemandu juga tidak mendedahkan jumlah pelaburan, kadar kenaikan perkapita dalam Keluaran Negara Kasar (GDP) serta jumlah pekerjaan baru yang dapat diwujudkan.

"Tetapi, semasa Pemandu mengumumkan mengenai 19 projek EPP bulan lalu, mereka juga dapat mendedahkan pelaburan sejumlah RM67Bilion untuk perlaksanaan kesemua projek tersebut dapat menjana GDP sebanyak RM35 Bilion serta mewujudkan 35 ribu pekerjaan baru," kata beliau lagi.

Guan Eng menjelaskan, Pemandu tidak sepatutnya menolak kaedah pro-rata dalam menentukan jumlah pelaburan yang diterima oleh sesebuah negeri dan sekiranya EPP merupakan satu pendekatan yang memfokus, inklusif serta mempunyai inisiatif berterusan yang mampu mengubah negara menjadi negara berpendapatan tinggi maka sepatutnya setiap negeri patut mendapat sekurang-kurangnya satu EPP.

Tiada satupun daripada 19 EPP yang diumumkan bulan lalu melibatkan Pulau Pinang.

"Bagaimana ETP boleh menjadi inklusif serta dapat mengagihkan kekayaan negara dengan semua segmen populasi tanpa mengira kawasan dan latarbelakang sekiranya Pulau Pinang tidak dimasukkan sekali? Malahan bagaimana pula kesemua 95 EPP yang dirancang untuk Pulau Pinang boleh dijayakan tanpa kerjasama kerajaan negeri?" soal beliau lagi. 

Guan Eng seterusnya menegaskan, kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya diberi penjelasan dan maklumat yang mencukupi, bukannya dibiarkan dalam kegelapan.

Keadaan di mana kerajaan negeri terpaksa mengetahui perancangan Pemandu melalui media massa berkenaan 95 projek EPP di Pulau Pinang langsung tidak mencerminkan kecekapan Pemandu serta tidak menambah keyakinan rakyat terhadap Pemandu.

"Perancangan memerlukan perlaksanaan dan ini memerlukan kesemua pihak terlibat diberi maklumat penuh, serta perlu telus, Rakyat Pulau Pinang berhak mengetahui dengan terperinci mengenai kesemua 95 EPP yang dijanjikan tanpa menutup kesemuanya dengan merahsiakannya," tegas beliau lagi.

TVS News

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.