Followers

Friday, February 11, 2011

Mahkamah Persekutuan tolak petisyen ketiga bekas Sultan Kelantan

7 Rabiul Awal 1432H.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak petisyen bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra untuk mencabar pelantikan putera sulung baginda, Sultan Muhammad V, menaiki takhta.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra), untuk membatalkan petisyen ketiga ayahanda baginda yang memohon diisytiharkan permasyhuran baginda (Sultan Muhammad V) sebagai Sultan, adalah melanggar perlembagaan.

Permohonan untuk membatalkan petisyen itu difailkan atas alasan bahawa Tuanku Ismail Petra tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan petisyen itu dan forum yang betul untuk membuat keputusan terhadap pertikaian itu ialah Mahkamah Khas. Ini kerana Tengku Muhammad Faris ialah Sultan Kelantan dan permohonan tuntutan mempertikaikan pelantikan seorang Sultan perlu dibuat di Mahkamah Khas.

Panel hakim menyampaikan keputusan itu tanpa kehadiran peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra.

Peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra sebelum ini, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail telah menarik diri daripada mewakili baginda pada 18 Januari laluselepas mahkamah menolak permohonan mereka supaya petisyen itu didengar pada pertengahan Mac kerana Raja Aziz perlu menyelesaikan rawatan perubatannya di sebuah hospital di Singapura pada awal Mac.
 
Panel itu yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan Hasan Lah menolak petisyen itu tanpa mengeluarkan perintah mengenai kos.

Petisyen ketiga itu difailkan pada 20 September tahun lalu, memohon pendapat Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perundangan berhubung pindaan ke atas perlembagaan negeri dan pelantikan tengku mahkota sebagai Sultan.

Pada 13 September tahun lalu, Majlis Perajaan melantik Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan, menggantikan ayahanda baginda, berikutan mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.

Pada 26 November tahun lalu, dua petisyen yang mempersoalkan tahap kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota semasa Sultan mengalami ketidakupayaan yang difailkan oleh Tuanku Ismail Petra, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan, dalam dua petisyen itu telah memutuskan bekas Sultan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk merujuk persoalan berkenaan kepada mahkamah tertinggi itu untuk diputuskan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sunil Abraham yang mewakili Sultan Muhammad V memaklumkan mahkamah yang beliau telah memaklumkan kepada Tuanku Ismail Petra mengenai tarikh perbicaraan hari ini melalui sepucuk surat pada 28 Januari tahun ini.

Beliau berkata salinan hujahan beliau bagi permohonan beliau untuk membatalkan petisyen itu turut dikepilkan dalam surat itu.

Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Datuk Azlan Abdul Halim mewakili responden kedua, kerajaan negeri Kelantan. - BERNAMA

2 comments:

  1. Tuanku dah tak berdaya tetapi siapa yang menjadi hantu dibelakang tabir yg menggunakan Tuanku untuk menjayakan tuntutan nafsu serakah mereka dan ketakutan mereka yg telah hilang tempat menempek yang selama ini menjadi utk mencari untung... nampak gayanya ada orang yang terus tak boleh masuk istana setelah menderhaka kepada Tuanku Sultan Muhamad V... Kami rakyat jelata akan terus mendookan kesejahteraan Tuanku Sultan Muhamad V serta keluarga dan dapat terus memerintah dengan adil dan bijaksana. Dan semoga Tuanku dilindungi dari segla fitnah dan rancangan jahat dari mereka yg selama ini menjadi musuh dalam selimut kepada kerajaan Kelantan Darul Naim.. Amin Ya Rabbal Alamin...

    ReplyDelete
  2. AminnnYa Rabbal Alaminnnn.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.