Followers

Thursday, December 16, 2010

Speaker Si Pandikar Amin Sekali Lagi Menjadi Hero UMNO BN Untuk Menggantung Wakil Rakyat Pembangkang !!



Dewan Rakyat hari ini terus kecoh sebelum usul bagi menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diluluskan. Anwar dan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus bertikam lidah dengan ketua umum PKR itu menuntut hak untuk membela diri berhubung dakwaannya yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide.

Pandikar berkata Anwar telah diberikan seminggu untuk menjawab dakwaan berkenaan dan kenyataannya itu mencetuskan kemarahan daripada ahli parlimen pembangkang. Ahli parlimen Gombak Azmin Ali terus bangkit dan menafikan bahawa Anwar diberi peluang membela dirinya.

Hari ini adalah hari terakhir sidang parlimen sesi ini dan 11 rang undang-undang yang sepatutnya dibahaskan telah tunda pada sidang baru yang dijadualkan pada Mac tahun depan. Di luar bangunan Dewan Rakyat, terdapat anggota polis yang luar biasa ramainya serta sekurang-kurangnya lima kereta peronda mengawal keadaan. Dianggarkan kira-kira 40 anggota polis berada di sepanjang jalan menuju pintu pagar parlimen.

Sekatan polis juga dibuat kira-kira 20 meter daripada pintu masuk parlimen. Sementara itu, Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar berkata perarakan akan diadakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suhakam, yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.

Dewan Rakyat juga telah meluluskan usul penggantungan selama enam bulan terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR- Gombak). Bagaimanapun sewaktu usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dibahaskan, semua ahli Parlimen memboikot dengan keluar dari dewan.

[Apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini seolah-olah mengesahkan lagi campurtangan "tangan ghaib" yang mencaturkan apa saja kenyataan dan keputusan Pandikar Amin. Ternyata parlimen Malaysia kini rosak dan amalan demokrasi itu terus dihancurkan oleh pihak berkuasa.

Jika dulu ISA digunakan untuk menahan rakyat tanpa bicara, kini ia berlaku pula di parlimen apabila wakil rakyat pembangkang dijadikan mangsa tuduhan dan pengantungan tanpa diberi peluang membela diri seperti kebiasaannya.

Pandikar Amin menggunakan kuasa "Veto" untuk memuktamadkan sesuatu keputusan yang jelas bercanggah dengan undang-undang itu sendiri. Tindakan menerima usul menggantung Anwar selama enam bulan dari parlimen itu jelas sekali menunjukkan bahawa kerajaan UMNO BN kini sudah terlampau takut kepada Ketua Pembangkang itu.

Langkah terbaik ialah menggantung dan mungkin selepas ini menghumbankan Anwar ke penjara. Semua ini adalah petanda awal pilihanraya umum ke-13 pasti akan berlaku pada pertengahan 2011 nanti].

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.