Followers

Wednesday, November 10, 2010

Mustaffa Kamil Ayub Dakwa Ada 162 Aduan ?

Saifuddin.. kami bukan BODOH!

Mustaffa Kamil Ayub yang telah memberikan tempoh 48 jam kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) supaya menghentikan pemilihan 2010 ini telah mendakwa 162 aduan kepincangan atau salah laku atau apa yang sepatutnya tidak dibenarkan berlaku tetapi telah berlaku dalam Pemilihan 2010 ini.


Tetapi menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pula setakat ini hanya enam aduan rasmi diterima berhubung perjalanan pemilihan pimpinan tertinggi PKR, kenyataan yang sekaligus menafikan dakwaan dua calon timbalan presiden, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub sebelum ini bahawa lebih banyak aduan dibuat terhadap perjalanan pemilihan PKR.

Jika Saifuddin mengatakan hanya enam aduan rasmi yang telah dikemukakan kepada JPP bagaimanapula dengan sebahagian laporan salahlaku yang telah diserahkan kepada JPP yang disiarkan oleh UrekaAsia di SINI jumlahnya kelihatan lebih dari enam nampaknya.. tak tahulah pula.. mungkin blog tersebut juga berniat jahat terhadap PKR ..

Dalam menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap akan meneruskan pemilihan langsung yang berlangsung sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan dua calon timbalan presiden , Saifuddin berkata “Adakah ini akan memberi kesan ke atas proses (pemilihan)? Tidak, kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi,” dan “Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,”

Sokongan kuat akar umbi?? Kuatkah sokongan jika yang turun mengundi di kebanyakkan Cabang jumlahnya tidak melebihi 30% malah di Permatang Pauh sendiripun tak sampai 5%, Adakah peratusan itu cukup bagi mengatakan akar umbi menyokong kuat? Sabah lain cerita..

Saifuddin juga menegaskan bahawa daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan pengundian, Zaid menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang.

Bagi yang mencari rezeki dengan memakan gaji.. apabila anda menyerahkan notis meletak jawatan biarpun setelah dipujuk anda pasti akan mendengar ayat yang berbunyi lebih kurang begini “ Nak Resign jugak ka? Ish.. management dah bincang untuk menaikkan gaji anda” atau ayat ini “ Resign jugak? Company baru saja nak beli kereta untuk kegunaan awak” ataupun ayat ini “Saya dah proposed untuk kenaikkan pangkat awak kepada top management.. awak nak resign jugak….”

Tujuan sebenar ayat yang anda pasti akan dengar bila meletakkan jawatan setelah dipujuk itu ialah cuma untuk menimbulkan perasaan kesal didalam diri anda terhadap tindakan anda meletakkan jawatan.. sama dengan ayat Saifuddin diatas tu..

Ayat ini pula.. “Jika ada unsur manipulasi, Zaid tidak akan menang di satu cabang pun,”.. adalah sama dengan ayat ini "jika SPR tidak adil, pembangkang tak boleh menang walau satu kerusi pun di Parlimen, tak boleh rampas satu negeri pun di negara ini." Ayat siapa??

Itu adalah ayat yang telah dikeluarkan oleh pemimpin UMNO dalam membela SPR yang dipertikaikan kredebilitinya oleh kita..

Saifuddin.. Ahli PKR menyokong PKR kerana mereka tidak bodoh untuk menyokong UMNO.. jadi janganlah cuba memperbodohkan kami..

Ini buat teman-teman yang membaca blog ini.. ramai yang menyuarakan akan kehairanan mereka dengan gaya penulisan aku sejak akhir-akhir ini.. ada yang mengatakan seolah-olah aku berada dipihak sana (Pihak UMNO la).. sebenarnya tidak.. aku tetap berada di sini.. aku mengkritik sebegini rupa kerana aku telah mendengar dan melihat dengan mata aku sendiri kepincangan yang telah berlaku.. Aku mengkritik sebegini rupa kerana aku hanya mahukan satu Pemilihan yang telus dan adil buat semua yang bertanding..

Bukti yang ada jika didedahkan akan mengundang malapetaka buat para pemimpin yang bertanding baik Dato Zaid mahupun Azmin.. Mus tak ada.. dan pasti akan digunakan oleh UMNO untuk menyerang kita bila PRU tiba..

Aku tak kisah siapapun yang menang sebagai Timbalan Presiden biar Azmin atau Dato Zaid mahupun Mustafa Kamil (Yeop) sekalipun aku tetap akan menyokong mereka, kerana bagi aku mereka adalah ahli PKR sebagaimana aku juga…

Kalau diperhatikan Blog aku ini banyak menyiarkan artikel berkaitan Dato Zaid ini hanya kerana aku sedar kebanyakkan yang menjenguk blog yang tidak seberapa ini adalah Ahli PKR yang bila mereka menjenguk Suara Keadilan Online mereka jarang melihat artikel mengenai Dato Zaid yang jelas tidak adil buat seorang Ahli PKR yang diangkat sebagai pemimpin oleh Ahli PKR sendiri yang bertanding dalam Pemilihan ini..

Dan buat yang kata aku orang UMNO tu... hmmm.. Kepala Hotak Hang!

Berita berkaitan

Pemilihan pusat PKR tetap diteruskan, kata SU Agung

PETALING JAYA, 9 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan pemilihan langsung yang berlangsung sekarang meskipun menerima kata dua dan dipertikaikan dua calon timbalan presiden ekoran dakwaan wujudnya manipulasi dan kecacatan dalam proses pengundian.

Ketika menyatakan pendirian tegas parti itu petang, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga menolak dakwaan Datuk Zaid Ibrahim bahawa proses pengundian pemilihan pusat telah dimanipulasi.

“Adakah ini akan memberi kesan ke atas proses (pemilihan)? Tidak, kami menerima sokongan kuat daripada akar umbi,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Proses pengundian yang bermula dua minggu lalu akan berakhir 21 November ini.

Saifuddin menegaskan bahawa daripada 87 bahagian yang telah selesai mengadakan pengundian, Zaid menang di 38 cabang manakala Azmin Ali pula di 37 cabang.

Dalam pada itu seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, yang memberikan kata dua kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pagi tadi, menang di 11 cabang.

“Jika ada (unsur) manipulasi, beliau (Zaid) tidak akan menang di satu cabang pun,” kata Saifuddin.

Bagaimanapun Azmin mendahului dua pesaingnya dengan memperoleh 4,378 undi berbanding Zaid yang mengumpulkan 3,410 undi manakala Mustaffa pula 1,181 undi.

“Jangan jadikan sekretariat atau jawatankuasa pemilihan kambing hitam jika calon gagal untuk memobilisasikan jentera mereka,” kata Saifuddin.

Semalam, Zaid memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan proses pemilihan dicemari kecacatan dan manipulasi undi.

Keputusan itu ekoran pemerolehan undi dalam jumlah yang besar oleh Azmin dari Sabah pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pagi tadi, Zaid meminta agar pemilihan ditangguhkan, langkah yang turut disokong oleh Mustaffa.

Mustaffa memberi kata dua agar pemilihan semasa dibatalkan dan proses pengundian baru diadakan.

Menurut Mustaffa beliau akan menghantar memorandum komprehensif kepada parti bagi membuktikan kecacatan pemilihan.

Saifuddin juga membacakan surat yang dihantar oleh Zaid pada 5 Oktober lalu, yang menyenaraikan tujuh cadangan dilaksanakan oleh parti sebelum beliau boleh bertanding dalam pemilihan.

Katanya, pelantikan ejen pengundian dan pengiraan, nombor bersiri pada kertas undi, pembersihan daftar pemilih, ruang pengundian berasingan, waktu mengundi tetap dan pengecualian yuran untuk layak mengundi adalah perkara disyorkan oleh Zaid.

“Beliau menuntut peti undi lutsinar, tetapi ini tidak boleh dilaksanakan sebab tidak ada sumber kewangan yang secukupnya,” kata Saifuddin.

“Hakikatnya, Datuk Zaid telah bersetuju untuk menerima pencalonan dan sudah pun separuh jalan dalam pemilihan,” katanya lagi.

Saifuddin juga menyenaraikan nama pemimpin yang tewas dalam pemilihan bahagian tetapi masih kekal bersama parti.

“Pemilihan ini juga menyaksikan kekalahan pemimpin yang ada bersama parti sejak penubuhan, tetapi mereka tewas di peringkat bahagian,” kata Saifuddin.

“Datuk Kamarul Baharin Abas, sebagai contoh, merupakan bekas bendahari, setiausaha agung tetapi tewas di Teluk Kemang di tangan YB M. Ravi,” kata beliau.

Pemimpin-pemimpin lain yang kalah termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong di Petaling Jaya Utara, Exco Kerajaan Negeri Kedah Lim Soo Nee (Kulim Bandar-Baharu) dan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail (Shah Alam).

“Elizabeth Wong membuat aduan tetapi beliau tenang sementara menanti keputusan mengenai aduan beliau,” katanya lagi.

Mengenai status Zaid, Saifuddin berkata, jawatankuasa pemilihan akan menentukan sama ada pengumuman beliau dalam blognya sudah cukup memadai.

“Tiada makluman (lagi), hanya menerusi blog. Tetapi jawatankuasa pemilihan akan memutuskan,” kata Saifuddin lagi.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.