Followers

Saturday, March 20, 2010

UMNO lah punca Pemecah Belah - Ust Badrul Amin

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Dr Badrulamin Badron berkata Umno dan Barisan Nasional yang merencana dan melaksanakan konspirasi kali kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kini digolongkan dikalangan kaum munafik dan fasik menurut fatwa terbaru ulama tersohor Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Bercakap pada ceramah anjuran KEADILAN Cabang Tambun di Kampung Manjoi Baru minggi lepas, beliau menegaskan akibat daripada konspirasi pertama terhadap Anwar terjadinya perpecahan paling dikalangan rakyat semua lapisan di Malaysia.

"Ada yang tanya apa kena mengena fitnah ini dengan kita, ini soal Anwar dengan Dr Mahathir masa itu. Kalau begitu mengapa yang kita bergaduh dengan jiran tetangga, bukankah yang kita berpecah itu bukan sifat munafik namanya.

"Kesan fitnah yang paling hebat ialah perpecahan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu, bandar dan bukan bandar semuanya tanpa pengecualian. Perpecahan yang paling dahsyat ialah akibat fitnah pada tahun 1998. Sudah 12 tahun adakah sudah damai ke belum, dah taubat ke, siapa nak tanggung dosa permusuhan ini?

"Rasulullah bersabda tidak halal bagi seorang Muslim bermusuh dengan saudaranya lebih dari tiga hari, sekarang sudah berapa tahun?" Dr Badrulamin melontarkan persoalan kepada lebih 500 penyokong yang hadir.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu menambah isu fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN itu bukan sahaja berkisar kepada hujah laporan perubatan dan dikaji dari segi saintifik tetapi juga mempunyai dimensi agama dan akhlak.

Berhubung Konspirasi II terhadap Anwar, fatwa Pengerusi Majlis Ulama Sedunia itu menyata bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah munafik.

Dr Yusuf juga menyebut bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

"Saya berpesan dalam kes fitnah terhadap Anwar kalau kita tidak mampu membela beliau lebih baik kita diam, jangan tambah dosa. Kalau nak komen dalam blog, facebook dan laman web, komenlah kerana Allah bukan hanya suka-suka komen, nak komen kena faham isu baru nak komen kalau tak faham bertanya, sebab setiap komen kita akan dipertanggungjawabkan, setiap huruf dan setiap ayat yang kita susun dalam facebook, blog dalam alam maya ini kita akan jawab didepan Allah SWT.

"Kalau kita guna akal fikiran, Anwar pada 1998 sudah diaibkan, dimalukan, diseksa, dizalimi sekarang mereka (Umno-BN) buat lagi.

"Dalam Al-Quran di nyatakan dengan jelas kalau orang fasik datang kepada kamu dengan satu berita, 'check' dan 'double check', jangan sampai kita menghukum dan buat satu kenyataan yang mengaibkan orang lain. Dalam hal fatwa ini wajib kita sampai dan sebarkan," kata Dr Badrulamin lagi.

Menyentuh mengenai Pakatan Rakyat Dr Badrulamin berkata Umno-BN kini cukup takut dengan kekuatan gagasan itu menyebabkan musuh sentiasa mahu mengugat dan memecahbelahkannya.

"Apa yang Umno cukup mengelabah dan takut ialah wujudnya satu gabungan yang dipanggil Pakatan Rakyat. Mereka tidak pernah takut dengan PAS sebagai PAS, KEADILAN sebagai KEADILAN atau DAP sebagai DAP tetapi bila bergabungnya ketiga-tiga parti ini kekuatannya amat luar biasa.

"Kekuatan Pakatan Rakyat tidak kepada PAS sahaja, tidak kepada KEADILAN atau DAP sahaja, macam Power Rangerslah apabila lima Power Rangers ini bergabung tenaga baru jadi kuat, kalau seorang berlawan kalah," jelasnya.

Oleh kerana itu kata beliau Umno-BN mencipta beberapa isu berkaitan agama dan perkauman serta mencetuskan insiden-insiden yang boleh menjuruskan kepada pergaduhan antara kaum.

"Dalam isu kalimah Allah apakah Umno bersuara atas prinsip mahu pertahankan nama Allah, kalau kerana prinsip mengapa mereka ke Sabah dan Sarawak dan kata orang di Kristian di sana boleh pakai nama Allah, apakah Allah di Sabah dan Sarawak tak sama dengan Allah di Semenanjung? Status Allah pun berbeza ikut zon?

"Ini kerana mereka melihat sokongan orang Sabah dan Sarawak kepada Pakatan Rakyat sampai ke 70 peratus, Umno-BN panik maka terus mereka mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian yang kononnya hendak mempertahankan kalimah Allah.

"Bila mereka tengok di Semenanjung sokongan orang Cina dan India meningkat kepada hampir 90 peratus kepada Pakatan Rakyat, mereka buat kenyataan bahawa Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan boleh guna kalimah Allah dengan alasan negeri-negeri ini tidak ada Sultan.

Bagaimana pula dengan Melaka, sebab itu saya kata pendirian mereka bukan atas prinsip agama tetapi kerana kepentingan politik," kata Dr Badrulamin lagi.

Walau bagaimanapun segala perancangan jahat Umno-BN tidak mampu menggoyang keutuhan Pakatan Rakyat kerana rakyat sudah masak dan mengetahui motif setiap isu yang dicetuskan kata beliau.

"Mereka ingat dengan isu kalimah Allah, PAS dan DAP boleh berpecah tapi tak pecah, kemudian dia bakar gereja nak pecah belahkan kita, dia campak kepala babi hutan dalam masjid bukan untuk hina masjid tapi mahu pecah belahkan kita tapi makin kuat kita diasak makin kuat kita berteguh, berpakat.

"Bila gereja diserang PAS pergi, KEADILAN pergi bukan setakat tengok tolong lagi, bila kepala babi dicampak ke masjid, Cina dan India datang peluk Imam dan kata "Sabar tuan Imam".

"Mereka nak pecah belahkan kita sebab apabila orang Cina tidak lagi takut dengan Islam, siapa yang takut? Apabila orang India sudah berani pakai baju 'PAS For All', 'Islam For All', siapa yang paling takut? Apabila orang Cina seperti Chang Ming Kai (ADUN Simpang Pulai) sudah pandai baca Quran siapa yang takut? Sudah tentu jawapannya Umno!" tegas Dr Badrulamin.


Read more: http://loveperak.blogspot.com/2010/03/umno-lah-punca-pemecah-belah-ust-badrul.html#ixzz0ihBElwZ2

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.