Followers
Friday, March 19, 2010
PEGAWAI JAIS TAK BELAJAR AGAMA KE ?
Khutbah Jumaat selar pihak pertikai sebat pesalah wanita
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah proaktif dengan menjelaskan isu pelaksanaan sebat ke atas pesalah wanita di bawah undang-undang Islam pada khutbah Jumaat di negeri ini hari ini. Teks khutbah bertajuk 'Isu Menghina Sebatan Syarie' yang diedarkan kepada semua masjid itu turut menyelar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media tertentu kerana mempertikaikan hukuman berkenaan yang dijalankan pada 9 Februari lalu.
Tiga pesalah wanita itu bersama pasangan mereka telah menjalani hukuman sebat di Penjara Kajang atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sehingga melahirkan anak luar nikah. Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohamad Hidayat Abdul Rani berkata, langkah itu diambil untuk memberi kesedaran kepada umat Islam di negeri ini. Menurutnya, jabatan itu mahu masyarakat tahu bahawa tindakan mempertikaikan pelaksanaan hukuman tersebut mengguris perasaan dan sensitiviti seluruh umat Islam di negara ini. Katanya, pihak yang mengeluarkan kenyataan mempertikaikan hukuman Mahkamah Syariah itu juga menunjukkan mereka tidak menghormati agama Islam.
''JAIS melihat khutbah Jumaat adalah saluran terbaik untuk menyedarkan umat Islam tentang isu berbangkit yang berlaku sekarang kerana ia tidak boleh dipandang ringan. ''Khutbah hari ini seperti juga khutbah-khutbah lain bertujuan memberi keinsafan, kesedaran serta mengukuhkan ukhuwah di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, semakin banyak yang mencabarnya secara terang-terangan," kata beliau.
Beliau memberi penjelasan demikian ketika diminta mengulas mengenai khutbah tersebut yang dibacakan di semua masjid di negeri ini. Sementara itu Mohamad Hidayat berkata, dalam khutbah hari ini, semua fakta berkaitan isu itu dinyatakan dengan jelas agar umat Islam sedar tentang halangan dan cabaran yang dihadapi sekarang. ''Sebab itulah dalam khutbah itu kita menyeru umat Islam mengambil langkah-langkah yang wajar bagi menangani kenyataan menghina Islam antaranya mempertahankan kedaulatan undang-undang Islam daripada dicabar, dihina dan menghormati keputusan Mahkamah Syariah," ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia 12/03/10
Apa Nak Jadi Dengan Jais?
Bagaimana pula Jais boleh mendakwa dan mendabik dada bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas kesalahan zina yang dilakukan oleh tiga pesalah wanita baru-baru ini sebagai suatu hukuman Islam? Hakikatnya, sudah terang dan jelas bahawa hukuman yang dijatuhkan itu bukan hukuman yang disyariatkan oleh Islam. Apakah pihak Jais boleh berlapang dada sedangkan hakikatnya mereka telah menjatuhkan hukuman sekular tetapi tanpa rasa malu dan bersalah mengatakan ini adalah hukuman dan undang-undang Islam?
Wahai para pegawai Jais, sedarlah bahawa kamu kelak akan dipersoalkan oleh Allah SWT atas apa yang kamu lakukan. Hakikatnya, memang ada pihak yang mempertikaikan hukuman sebat tersebut bukan kerana dorongan keimanan dan ketakwaan. SIS dan sekutu-sekutunya nampaknya termasuk dalam golongan ini, namun apa yang dilakukan oleh Jais itu sendiri sememangnya salah kerana persoalan zina itu adalah persoalan hudud yang bentuk hukumannya telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah SWT. Oleh itu, sebagai golongan yang terbabit dengan urusan agama Islam, pihak Jais perlu lebih telus dan berani mengatakan perkara yang hak itu sebagai yang hak dan perkara yang batil itu sebagai batil.
Faktanya, 100 kali sebatan untuk kesalahan zina adalah hak yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah manakala 6 kali sebatan untuk kesalahan zina itu adalah batil yang bersumber dari perlembagaan kufur Lord Reid . Jais seharusnya melakukan usaha agar undang-undang Islam yang berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah diterapkan - bukannya 'undang-undang syariah' sekular sedia ada sebagaimana yang telah diinginkan pemerintah sekular hari ini dan seterusnya tanpa rasa bersalah terus mempertahankan undang-undang thaghut ciptaan manusia. Nampaknya Jais telah terkeliru.
-- jebbat.blogspot.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.