Followers

Friday, March 19, 2010

Mahkamah Tolak Rayuan SPRM Kes Ramli Yusoff

Mahkamah Tinggi hari ini mengenepikan rayuan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Yusoff terhadap dakwaan menggunakan pesawat polis untuk tujuan peribadi hampir tiga tahun lalu.

"Selepas menyemak bukti yang berkaitan dan asas penghakiman oleh hakim mahkamah sesyen, saya mendapati hakim (mahkamah sesyen) itu tidak silap. Oleh

itu kami mengenepikan rayuan ini," katan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli.

Sebelum ini dalam hujah untuk mengenepikan keputusan mahkamah sesyen itu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata hakim mahkamah sesyen gagal menilai permohonan di bawah undang-undang di mana Ramli, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, didakwa.

Pada 27 Julai lepas hakim Supang Lian berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan Ramli, 57, wajar dilepas dan dibebaskan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kevin Morais dan Joyce Blasius, memanggil 75 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 59 hari antara 13 Mei 2008 dan 6 Julai tahun lepas.

Ramli, yang ketika itu diwakili oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan James Tsai, didakwa pada 19 Nov 2007 atas tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk perolehan kewangan dengan mengarahkan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan Polis Diraja Malaysia untuk membawanya melakukan pengawasan dari udara terhadap dua lot di Ulu Tungku, Lahad Datu, di mana syarikat hartanahnya Kinsajaya Sdn Bhd mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.50 pagi pada 15 Jun 2007 di Unit Udara Polis Sabah, Tanjung Aru dekat sini.

Ramli mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum RM10,000 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah, dan telah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.