Followers

Wednesday, March 10, 2010

Al Kisah YB Zul

Zul Noordin Jumpa Anwar, Azizah Hari ini













KUALA LUMPUR, 9 Mac — Zulkifli Noordin, yang dipecat dari PKR Sabtu lalu manakala semalam terlibat dalam "perang mulut" dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau masih mewakili suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazafnya.

Zulkifli berkata, setakat ini beliau masih merupakan peguam utama pasukan Anwar dalam kes itu, yang akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur esok. Katanya, beliau akan berada di mahkamah esok atas kapasitinya sebagai peguam yang telah dilantik secara rasmi oleh Anwar, yang juga Penasihat PKR dan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Berdasarkan rekod, saya masih merupakan peguam Anwar... saya akan berada di mahkamah esok. Sama ada saya akan diminta tarik diri ataupun sebaliknya, saya perlu berada di mahkamah (esok). Jika saya diminta menarik diri, saya juga kena memaklumkan secara rasmi kepada mahkamah. Jadi, saya akan berada di mahkamah esok,” kata beliau sambil menambah, apa yang dilalui sekarang bukan sesuatu yang bersifat peribadi.

Difahamkan jika Zulkifli berada di mahkamah esok ini kali pertama beliau bertemu secara bersemuka dengan Anwar dan Wan Azizah dalam tempoh sebulan ini. Justeru Zulkifli berkata beliau tidak melihat perkembangan semasa sebagai sesuatu yang sangat bersifat peribadi.

“Isu ini bukan sesuatu yang peribadi, saya masih mengekalkan hubungan saya dengan beliau, Wan Azizah dan keluarga Anwar,” katanya.

Zulkifli memberitahu beliau akan bertindak secara profesional sebagai seorang peguam dalam kes qazaf yang difailkan Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Beliau pernah terlibat dalam pasukan peguam Anwar dalam kes peringkat awal selepas beliau dipecat dari jawatan kerajaan dan parti pada September 1998.

Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan esok untuk sebutan semula mendengar kes qazaf difailkan oleh Anwar. Seorang lagi peguam pasukan Anwar dalam kes ini ialah Kamar Aniah Kamaruzaman.

Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin juga akan mendengar bantahan awal dikemukakan oleh pihak pembelaan, diketuai peguam Zainul Rijal Abu Bakar iaitu mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah yang akan mendengar kes ini, prosedur permohonan yang tidak dibuat mengikut Akta Prosedur Mal 1998 serta kelayakan Zulkifli untuk mewakili Anwar.


(Sumber: Malaysian Insider)

PGK: Tidak salahnya Zul Kulim mewakili Anwar. Asalkan beliau dapat membezakan antara sesuatu yang bersifat politik dan peribadi, sudahlah. Asalkan beliau profesional dalam menjalankan tugasnya, sudahlah. Asalkan beliau ke mahkamah sebagai seorang peguam dan bukan sebagai seorang bekas ahli PKR yang dipecat, sudahlah. Asalkan beliau datang ke mahkamah tanpa misi untuk membalas dendam sudahlah. Asalkan beliau tidak bertindak sedikit gila-gila di mahkamah, sudahlah.

Read more: http://loveperak.blogspot.com/2010/03/zul-noordin-jumpa-anwar-azizah-esok.html#ixzz0hfagkazU

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.