Followers

Saturday, December 12, 2015

UMNO pernah berpecah, dan mungkin berpecah lagi? - Nizha Periaswamy


umno,pilihanraya

Walaupun banyak telah diperkatakan tentang kewujudan dua pasukan dalam UMNO, jelas ia bukanlah satu perkara baharu, ia satu tradisi yang sudah dibenih sejak tahun 1987 lagi oleh Team A dan Team B ketika itu.

Saban hari, selepas artikel saya mengenai perutusan perasmian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 diterbit, ramai pembaca yang membetulkan satu fakta dalam artikel berkenaan. Terima kasih!

Fakta tersebut ialah mengenai sambutan ulang tahun UMNO ke-70 pada Mei tahun hadapan (2016). Minta maaf, saya hanya mengikut skrip yang dibentangkan oleh Perdana Menteri mengenai perkara itu, saya hanya mahu menyambung keterujaan beliau tentang betapa jauhnya UMNO telah berjuang selama ini, di tanah bertuah ini.

Namun, jelas ia satu fakta yang salah, UMNO yang kita laung-laungkan kini bukan berusia 69 tahun tetapi baru sahaja menjengah usia 27 tahun. Kalau diikutkan dalam konteks sosial semasa, ia usia yang paling matang untuk memasuki alam perkahwinan. Apakah itu juga indikasi UMNO Baru ini mahu berkahwin dengan Pas? Okay, itu bukan isu kita sekarang, saya reserve isu itu dalam artikel akan datang!

Kisah kewujudan Team A diketuai Dr Mahathir dan Team B diketuai Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sehingga mencetuskan UMNO Baru pada tahun 1988 bukanlah satu kisah yang boleh disembunyikan.

Walaupun kena ‘boo’, ia tetap sejarah dan sejarah itu sepatutnya diberi keutamaan oleh semua rakyat Malaysia. Tak usah ‘buat-buat’ tak tahu atau tak mahu tahu. Lebih-lebih lagi ia dilihat sebagai detik paling pahit bagi sejarah UMNO itu sendiri.

Ketika itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan hampir-hampir tewas dalam jawatan Presiden UMNO kerana terdapat beberapa cawangan yang tidak berdaftar turut menghantar perwakilan ke Perhimpunan.


Ekoran itu keputusan pemilihan diisytiharkan tidak sah dan kelicikan Dr Mahathir berjaya membetulkan keadaan dengan mengadakan pemilihan semula.

Macam-macam yang berlaku ketika itu, terlalu mendalam dan merumitkan kalau hendak dicerita semula. Terlalu banyak dan penuh taktik. Membabitkan ahli politik yang disanjungi dan diagungkan sekarang, saya rasa eloklah saya berhenti di sini sahaja. Lagipun, ketika itu tiada media sosial, tiada Sarawak Report, tiada kecanggihan teknologi seperti sekarang yang membogelkan segala-galanya seperti mana sekarang.

Apapun, kebimbangan kebanyakkan orang khususnya rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang berbangsa Melayu, pro UMNO ialah jikalau sejarah akan berulang. Jika dahulu kita ada Team A dan Team B tanpa menamakan sesiapa secara langsung, sekarang seolah-olah sudah ada Team Najib dan Team Muhyiddin yang digambarkan secara jelas lagi terang.

Jika dulu Team A sanggup lakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa, kini juga tidak banyak beza. Namun, intipati konflik ketika itu amatlah berbeza dengan sekarang. Ia membabitkan dua perkara yang lain dan mungkin lebih besar sekarang dengan adanya pelbagai pendedahan menggunakan media sosial serta portal antarabangsa, melibatkan wang, wang yang sangat banyak dan pelbagai pihak yang lain.

Tetapi, setakat ke hari ini, walau sejauh mana perkara ini diheret, UMNO Baru ini masih digam kuat, belum ada tanda-tanda ia akan berpisah dua. Mungkin kerana si ketua kedua-dua team masih di bawah payung UMNO yang sama, atau mungkin salah seorang tidak cukup ‘berani’ untuk bertindak seberani ketua Team A dahulu, mungkin mereka mahu perkara ini diselesaikan secara pintar atau mungkin juga mereka telah diberi amaran, saya tidak tahu.

Tetapi, jika ‘sejarah berulang’, satu-satunya perkara yang ingin saya tahu, tertanya-tanya juga di dalam hati ini ialah, apa nama baharu UMNO Baru kelak? UMNO Baru Baharu? UMNO Baru 2, UMNO Baru 2.1, UMNO?????


FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.