Followers

Monday, December 14, 2015

UMNO, Pas telah bekerjasama selama dua tahun FMT Reporters


Datuk-Ahmad-Yakob

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, kerajaan campuran mungkin tidak dapat diwujudkan dalam masa terdekat, namun beliau yakin 'salam' yang dihulur oleh Najib akan disambut baik Pas selepas ini.

JELI: Kerjasama antara UMNO dan Pas telah berlangsung selama dua tahun, melibatkan kerjasama di peringkat ‘G-to-G’ antara kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO dan kerajaan Kelantan pimpinan Pas di bawah Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai isu kerjasama yang diuar-uarkan oleh media antara Pas dan UMNO.

“Kerjasama telah berlaku, (ia) bukan mimpi… tak tepat (kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), itu tak betul. Kerjasama telah berlaku dua tahun dah.

“Tapi itu bukan bermakna kerajaan campuran. Itu (kerajaan campuran) konsep yang lebih luas dan kita kena dapatkan persetujuan daripada anggota Pas dan UMNO dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR) di Bukit Bunga, lapor Bernamai.

Mustapa mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan berkata UMNO hanya ‘bermimpi’ jika ingin menjalinkan hubungan dengan Pas selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menghulurkan ‘tali silaturahim’ kepada Pas untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, kerajaan campuran mungkin tidak dapat diwujudkan dalam masa terdekat, namun beliau yakin ‘salam’ yang dihulur oleh Najib akan disambut baik Pas selepas ini.

“Saya rasa sehari dua ini saya tak nampak ada kerajaan campuran ini, tapi kita dah mula kerjasama, saya sendiri dengan Menteri Besar Kelantan dalam setahun ini banyak pertemuan telah diadakan.

“Saya banyak kali ke Kota Darul Naim (pusat pentadbiran kerajaan Kelantan) yang tak pernah berlaku sebelum ini. Ini tanda-tanda yang baik. Menteri besar Kelantan pun banyak kali berjumpa perdana menteri untuk urusan kerajaan,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.