Followers

Friday, December 25, 2015

Siapakah pelindung wanita yang sebenar?


wanita

Semata-mata ucapan, jawapan-jawapan di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat serta dokumentasi yang berjela-jela sudah tidak lagi mempunyai nilai dan makna... 


Oleh Rodziah Ismail

Tahun 2015M menyaksikan Maulidur Rasul disambut dua kali, 3 Januari (1436H) dan 24 Disember (1437H) dengan tema yang sama – “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”.

Apakah signifikannya kepada wanita Malaysia? Tanpa mengira agama, latarbelakang, etnik dan golongan, ia mencelikkan imbasan kepada sirah (sejarah) Rasulullah (SAW) yang penuh dengan pengisisan dasar, perancangan dan perincian terhadap agenda dan pelan tindakan untuk melindungi wanita – pelindungan yang merangkumi bukan saja fizikal, malah meliputi psikologi, mental, jiwa, intelektual, spiritual, emosi dan setiap elemen insan wanita itu.

Wanita menaruh harapan yang amat besar terhadap amanah untuk melindungi mereka dengan baik dan sempurna. Demikian pula, wanita menyedari amanah mereka sebagai pencetus, aktivis dan pemelihara situasi yang harmoni dan sejahtera – semuanya dalam rangka amar ma’aruf, nahi mungkar dan dalam menegakkan kebenaran dan keadilan serta ke arah membina generasi masakini dan hadapan.

Wanita perlu berdaya untuk mengangkat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh Allah swt dan memastikan kehidupan mereka, kehidupan keluarga mereka, masyarakat dan rakyat Malaysia adalah bebas dari sebarang bentuk diskriminasi, ketidakadilan, korupsi, birokrasi yang sengaja membebankan dan informasi yang berherotan (distorted). 

Hanya dalam environmen yang sebegitu, kesejahteraan di kalangan rakyat akan wujud. Justeru, reformasi dalam sistem mahkamah syariah dan sivil, bidang keusahawanan, politik dan proses pembuatan keputusan di semua peringkat dan bidang pentadbiran menjadi suatu kewajaran.

Wanita perlu memahami bahawa untuk kesemua harapan dan idealisme mereka menjadi kenyataan mereka semestinya bertindak bijak dalam semua pilihan raya umum dan negeri dengan mengenali bakal-bakal pemimpin dan membuat pilihan mereka dengan tepat, perhitungan yang teliti, pemikiran yang dipenuhi oleh informasi yang lengkap dan menyeluruh – kerana para pemimpin yang wanita pilih itulah yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara dan negeri. 

Para pemimpin itulah juga yang akan menetapkan dan mengimplemantasi dasar-dasar yang diharapkan akan memelihara kepentingan wanita. Amat malang sekali jika para pemimpin yang dipilih itu tidak bersungguh dan tidak memahami tentang isu-isu berkaitan wanita dan meningkatkan kehidupan wanita.

Yang utamanya, wanita sekalian adalah dipertanggungjawabkan untuk bersikap jujur dan adil dalam pertimbangan-pertimbangan mereka kerana sikap sedemikian adalah antara cara utama menghindar, menolak dan menghapuskan kejahilan, kekurangan, kerosakan dan kedurjanaan dalam sistem-sitem kehidupan manusia.

Hasil daripada sistem kehidupan sedia ada masih berlaku keganasan terhadap wanita, diskriminasi dalam bidang pekerjaan, proses yang birokratik dan menyusahkan wanita untuk menuntut hak asasi mereka, penanggungan kos saraan hidup yang tinggi, berlarutan status yang tidak pasti – berkahwin tetapi ditinggalkan oleh suami tanpa nafkah atau perceraian rasmi, penanggungan sendirian perbelanjaan keperluan keluarga, khususnya anak-anak, kurang akses terhadap kemudahan pendidikan, kesihatan dan ekonomi kerana kemiskinan, penglibatan politik yang amat rendah serta jurang gender yang tinggi (menurut laporan Gender Gap Index 2015). Siapakah pelindung wanita? 

Siapakah yang bersedia untuk melindungi wanita dengan sempurna? Siapakah yang sebenarnya di antara mereka yang berkuasa yang beramanah untuk melindungi wanita Malaysia? Apakah yang sanggup mereka lakukan untuk melaksanakan amanah yang telah diwariskan oleh Rasulullah (SAW)?

Semata-mata ucapan, jawapan-jawapan di Dewan Negeri dan Dewan Rakyat serta dokumentasi yang berjela-jela sudah tidak lagi mempunyai nilai dan makna sebagai respon kepada persoalan-persoalan itu. Wahai para wanita, pilihlah yang telah membuktikan segala ucapan dan janji-janji mereka.

Rasullah (SAW) adalah contoh terbaik dalam melindungi wanita – dalam ucapan dan tindakan baginda.
Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H


Rodziah Ismail merupakan pengasas Pertubuhan Inisiatif Pemberdayaan Wanita (WE Initiative)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.