Followers

Wednesday, December 30, 2015

Rafizi: Dedahkan projek penswastaan di bawah Najib FMT Reporters


rafizi-ramli_zahid_projek_600

Dikhuatiri pentadbiran Najib Tun Razak lebih banyak menganugerahkan perjanjian konsesi berbanding pentadbiran Perdana Menteri yang terdahulu

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diminta mendedahkan semua projek penswastaan yang diluluskan sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Naib Presiden dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli membuat gesaan itu supaya tindakan dapat diambil terhadap perjanjian-perjanjian penswastaan bagi memastikan rakyat pada masa hadapan tidak dibebankan dengan bayaran pampasan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi yang rata-ratanya adalah kroni.

Katanya, dia khuatir jika tidak dibendung, pentadbiran Najib sebenarnya akan menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat berbanding jumlah perjanjian di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi.

Rafizi berkata demikian merujuk kepada kenyataan Zahid yang menyalahkan pemerintahan Perdana Menteri terdahulu seperti Dr Mahathir sebagai punca kerajaan terikat dengan perjanjian-perjanjian konsesi yang membebankan rakyat.

“Saya bersetuju bahawa banyak perjanjian konsesi lebuhraya dan penjana bebas (IPP) diluluskan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak bermakna bahawa pentadbiran sekarang di bawah Najib tidak mampu berbuat apa-apa untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian itu,” katanya menerusi kenyataan media.

Rafizi berkata, banyak pendedahan yang telah dibuatnya melibatkan projek penswastaan di bawah pentadbiran Najib

“Saya telah mendedahkan sebelum ini bagaimana kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kota Samarahan (Sarawak), Pasir Gudang (Johor), Selandar (Melaka), Seremban III (Negeri Sembilan), 


Puncak Alam (Selangor) dan Tapah (Perak) telah diswastakan melalui perjanjian konsesi selama 23 tahun.
“Saya juga mendedahkan mengenai rundingan penswastaan Hospital UiTM Puncak Alam melalui konsep konsesi yang dijangka menelan belanja berkali ganda lebih mahal dari kos membinanya,” jelasnya.

Rafizi berkata,,jika Zahid tidak berani mendedahkan perjanjian tersebut selain mengambil tindakan untuk menghentikan kegilaan menswastakan projek kerajaan melalui konsep konsesi, beliau perlu berhenti daripada menyerang perjanjian-perjanjian konsesi lain yang semuanya diluluskan oleh pentadbiran UMNO/Barisan Nasional tidak kira siapa Perdana Menteri ketika itu.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengulangi beberapa cadangan yang diberikan oleh PKR menjelang PRU13 demi melindungi kepentingan rakyat tetapi tidak diendahkan oleh pentadbiran Najib.

Antaranya ialah penubuhan Suruhanjaya Perjanjian Awam untuk menyemak kembali kesemua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam dan memutuskan cadangan-cadangan untuk memastikan kepentingan rakyat lebih dilindungi.

“Menerusinya, kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang-pemegang konsesi ini untuk mengubah perjanjian agar lebih adil kepada rakyat. 

Apatah lagi sebahagian besar dari syarikat swasta pemegang konsesi ini sama ada dimiliki sepenuhnya oleh badan-badan kerajaan (seperti PLUS dan Prolintas) atau saham syarikat-syarikat ini turut dipegang oleh badan-badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain; sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian konsesi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.