Followers

Monday, December 14, 2015

Pemuda Amanah gesa para Senator tolak RUU MKN - Radzi Razak


Mohd-Sany-Hamzan

Kesahan RRU itu meragukan serta 'merampas' kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dibawah Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan

KUALA LUMPUR : Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional akan berada di Dewan Negara dan memantau perjalan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara.

Ketuanya, Mohd Sany Hamzan menggesa para senator supaya menolak RUU itu kerana kesahannya yang meragukan serta ‘merampas’ kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dibawah Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Memang benar, undang-undang ini digubal bukan dalam waktu darurat namun peruntukan-peruntukan di dalamnya jelas merupakan peruntukan yang hanya wujud dan boleh wujud dalam undang-undang yang digubal semasa darurat.

“Kerana itu Pemuda Amanah Nasional tertanya-tanya, jika Kerajaan Persekutuan ingin mengubal undang-undang yang bersifat ‘luar daripada situasi biasa’ mengapa ianya tidak digubal di bawah Perkara 149 atau 150 Perlembagaan Persekutuan?” kata Sany.

Perkara 149 memberi kuasa kepada pemerintah mengambil tindakan yang tertentu, walaupun tidak selaras dengan Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 9 (kebebasan bergerak), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan) dan Perkara 13 (hak terhadap harta) Perlembagaan, untuk memberhentikan atau mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah yang memudaratkan orang awam.

Manakala Perkara 150 memberi kuasa kepada Agong untuk mengisytihar darurat, dan proklamasi itu hendaklah dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sany menyerahkan memorandum mereka kepada senator-senator PKR dan DAP, yang diwakili Syed Husin Ali, Siti Aisyah Shaik Ismail dan Chandra Mohan, pada Isnin.

RUU MKN itu berjaya melepasi peringkat Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu. Penentang RUU itu mendakwa ia memberi kuasa mutlak kepada MKN, terutamanya Perdana Menteri, untuk bertindak sebarang bentuk penentangan.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Ambiga Sreenevasan berkata RUU ini bakal mengubah lanskap negara kerana ia memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengatasi kuasa Agong dan Kerajaan Negeri. Ia juga memberi kuasa kepada beliau untuk mengumumkan mana-mana kawasan di negara ini sebagai “kawasan keselamatan”.

“Malaysia tidak perlukan RUU seperti ini, yang sebenarnya cubaan Perdana Menteri untuk merampas lebih banyak kuasa dan memusatkan kuasa pada dirinya,” tegas Ambiga, dua minggu lalu.

Sementara itu, pentadbiran Najib menegaskan RUU itu hanya akan digunakan untuk memerangi ancaman militan Negara Islam (IS) dan jaringan pengganas antarabangsa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Ahad menafikan RUU itu akan digunakan keatas perhimpunan aman seperti Bersih 4, atau merampas kuasa Agong.

“Saya tahu banyak membantah rang undang-undang ini adalah daripada kumpulan Bersih tetapi mereka perlu sedar bahawa dalam tempoh beberapa tahun ini, sebanyak empat perhimpunan Bersih diadakan namun tidak pernah sekalipun Majlis Keselamatan Negara dipanggil untuk menguruskannya.

“Bersih jangan anggap diri mereka terlalu penting, mengendalikan ancaman pengganas adalah jauh lebih penting daripada demonstrasi haram,” katanya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.