Wakil dari pejabat peguam Mohamed Hanipa & Associates menjalankan sitaan barangan milik Hamidah di kediamannya di sini, tadi.
BATU GAJAH - Gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM200,000 dalam satu kes saman fitnah, barangan dalam rumah milik bekas Ketua Penerangan Wanita Umno di Kampung Tersusun Jalan Gopeng di sini, disita oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
Mahkamah mengeluarkan perintah sita itu setelah Datuk Hamidah Osman gagal membayar ganti rugi berkenaan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang memenangi kes saman fitnah terhadap bekas Adun Sungai Rapat itu.
Pada 27 April lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk "Umat Islam Perlu Bersatu" di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 di mana dalam artikel tersebut, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.
Pernyataan tuntutan Khalid, yang difail pada 23 Disember 2011, mendakwa gambar itu menunjukkan beliau seolah-olah seperti seorang paderi Kristian dan seorang yang murtad.
Hamidah sebelum ini bagaimanapun dipetik sebagai berkata, Khalid mendakwa beliau adalah penulis artikel yang mempunyai gambar 'superimpose' plaintif sedangkan beliau bukan penulis artikel itu dan tidak pernah meletakkan gambar tersebut di dalam artikelnya.
"Artikel asal pun tidak ada sebarang gambar, kononnya melalui gambar itu saya telah menuduh plaintif seorang yang murtad dari agama Islam. Isu murtad ialah isu yang serius yang perlu dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
"Bagaimanapun saya ingin menegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menuduh plaintif telah murtad dari agama Islam dan tidak pernah 'superimpose' gambar seperti yang didakwa dalam artikel itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.