Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berkata
beliau ada bukti menunjukkan Mabel Muttiah menghantar pesanan teks untuk
'membuli dan merasuah' ahli keluarga mendiang Kevin Morais.
“Apa sebenarnya ‘penipuan’ dalam artikel saya itu?” soal editor SR Clare Rewcastle-Brown dalam responnya terhadap kenyataan Muttiah bahawa ia ‘penuh dengan penipuan’.
Dalam artikel tersebut, SR mendakwa berlaku perbuatan khianat (foul play) dalam penyiasatan kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais.
Artikel itu juga mendakwa terdapat percubaan untuk “membuli dan merasuah” keluarga Morais bagi membolehkan jenazah mendiang dibakar sebelum autopsi kedua dilakukan.
Ketika dihubungi FMT, Muttiah menafikan dakwaan yang dibuat SR dan menyifatkannya sebagai “kewartawanan rendah” (substandard reporting).
FMT juga difahamkan yang beliau telah membuat laporan polis terhadap SR Selasa lalu.
Dalam responnya terhadap penafian Muttiah, Clare mendakwa beliau hanya membuat kenyataan yang tidak jelas.
“Adakah dia mendakwa yang dia bukanlah penulis kepada pelbagai teks pesanan yang kami petik? Jika ya, dia sepatutnya berkata demikian, bukannya hanya berkata laporan kami sebagai ‘penuh penipuan’,” katanya menerusi emel.
“Jika dia yang menulisnya (dan saya dapat membuktikannya) maka saya berhak untuk bertanya; mengapa dia menekan keluarga mendiang dan pejabatnya menawarkan wang kepada adik-beradik mendiang?
“Dan mengapa dia berhubung dengan seseorang yang menggelar dirinya sebagai ‘gangster’ untuk mengeluarkan mayat dari rumah mayat tanpa kebenaran ahli keluarga lain?”
‘Gangster’ yang dimaksudkan Brown adalah adik kepada Morais yang menurut SR telah mengingkari hasrat ahli keluarga lain dengan membakar mayat Kevin.
Dalam kenyataannya Isnin lalu, Muttiah berkata bahawa SR tidak pernah menghubunginya untuk mengesahkan maklumat yang diperolehi sebelum menerbitkannya.
Brown membalasnya dengan berkata, “Hak itu juga tidak diberikan kepada saya oleh media rasmi Malaysia yang telah membuat tohmahan kepada saya tanpa cuba mendapatkan kenyataan daripada pihak saya.”
“Adakah dia menyangka saya akan mematuhi peraturan yang tidak diikuti media kawalan kerajaan Malaysia?
“Saya ingin sekali melihat salinan laporan polisnya, memandangkan mungkin ia ada butiran tentang apa yang dia katakan sebagai ‘penipuan’ itu,” katanya lagi.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.