Followers

Saturday, November 21, 2015

Wajar orang Islam curigai YaPEIM Nazuri


melayu

Maklumat perbelanjaan YaPEIM dipercayai dibocorkan 'orang dalam' yang mahu ia didedahkan dan wajar umat Islam merasa bimbang dan curiga.


Tidak dinafikan pendedahan berkaitan pembaziran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang dibuat oleh Pengarah National Oversight and Whistleblower (NOW), Akmal Nasir menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.

Masyarakat Islam terutama mereka yang menyumbang setiap bulan untuk amal jariah bimbang wang yang disedekahkan menerusi potongan gaji disalah guna untuk tujuan lain yang tersasar tujuan asal yayasan itu.

Lebih menakutkan penyumbang yang berjumlah lebih 500,000 orang jika wang yang disedekahkan untuk anak yatim dan miskin diguna untuk membayar tiket penerbangan menteri dan isteri atau untuk bayar main golf.

Biarpun YaPEIM menegaskan wang yang digunakan untuk membiayai program dan perbelanjaan di luar negara adalah hasil keuntungan aktiviti perniagaaan yayasan itu.

Namun, penjelasan itu tidak mampu kembalikan sepenuhnya keyakinan umat Islam kepada YaPEIM yang telah tercalar selepas pendedahan itu.

Perlu diingatkan, YaPEIM bukan institusi yang berteraskan keuntungan tetapi berkonsepkan amal jariah dan sumbangan.

Apapun penjelasan yang diberikan YaPEIM, persoalannya ialah mengapa perlu YaPEIM berbelanja besar untuk program-program di luar negara yang hanya memberi manfaat kepada sekumpulan kecil orang.

Sebagai contoh, YaPEIM dan agensi-agensi dibawahnya dikatakan membelanjakan lebih RM200,000 untuk program dakwah di beberapa tempat di Australia yang hanya dihadiri antara 60-70 pelajar Malaysia.

Jumlah perbelanjaan itu termasuk kos tiket kapal terbang kelas perniagaan kepada individu tertentu.

Bukankah ini satu pembaziran? Jumlah RM200,000 bagi pengurusan tertinggi YaPEIM mungkin kecil tapi bagi rakyat kebanyakkan ia jumlah sangat besar.

Jika wang itu digunakan untuk program lain seperti Program Perkasa Komuniti YaPEIM lebih ramai yang dapat manfaatnya.

Itu belum lagi dikira pembaziran hampir RM1 juta setahun untuk membayar elaun seorang pemimpin Wanita UMNO Kelantan, suami dan anaknya yang memegang jawatan penting dalam YaPEIM.

Jadi, jangan salahkan orang Islam jika mula curiga dan ragu-ragu dengan pengurusan YaPEIM selepas pendedahan itu.

Benar, pendedahan NOW itu bukan tepat 100 % tetapi tindakan orang dalam membocorkan maklumat perbelanjaan itu maka wajar orang Islam bimbang dengan pengurusan YaPEIM.

Selain di Australia, NOW juga mendedahkan YaPEIM membelanjakan lebih RM500,000 untuk program di Amerika Syarikat dan hamper RM300,000 untuk kursus kahwin kepada pelajar di Paris.

YaPEIM mungkin tidak menyeleweng seperti kata timbalan menteri tetapi kewajaran program-program itu diadakan di luar negara yang patut dipersoalkan kerana membazir.

Perbelanjaan itu juga bertentangan dengan ‘amalan berjimat cermat’ yang menjadi antara nilai-nilai yang diutamakan dalam budaya korporat YaPEIM.

Sebagai institusi yang memartabatkan Islam, pendedahan perbelanjaan YaPEIM itu amat mengecewakan masyarakat Islam di negara ini.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.