Followers

Saturday, November 14, 2015

Usul tergempar bincang penjualan IPP milik 1MDB FMT Reporters


rafizi-ramli-1MDBRafizi Ramli akan memfailkan usul itu susulan dakwaan kerajaan membatalkan had ekuiti pegangan syarikat asing dalam sektor tenaga negara.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli akan memfailkan usul tergempar pada Isnin ini bagi membincangkan penjualan aset loji penjana kuasa bebas (IPP) milik 1MDB kepada Konsortium China- Qatar.


Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih membisu terhadap dakwaan pentadbiran beliau telah secara senyap-senyap membatalkan had pegangan ekuiti sektor elektrik negara.

Mengikut peraturan asal, syarikat asing hanya boleh memegang maksimum 49% pegangan dalam syarikat yang terlibat di dalam sektor elektrik negara.

Naib Presiden PKR itu mendakwa, pembatalan had pegangan ekuiti ini dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga sahaja tanpa dibawa berbincang di peringkat Jemaah Menteri.

Malah, dakwanya, menteri yang terbabit iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) juga dilaporkan membantah keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti tersebut.

“Saya mendapat maklumat bahawa pentadbiran Najib akan mengumumkan pembida asing iaitu konsortium syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) akan diumumkan sebagai pembida yang berjaya dalam tempoh seminggu ini,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Rafizi berkata, membatalkan had pegangan ekuiti asing demi menyelamatkan 1MDB akan membawa kesan besar kepada kedaulatan negara dan kebajikan rakyat.

Katanya, tindakan itu juga bakal memberi kesan kepada jumlah rakyat Malaysia yang terbabit dalam sektor tenaga yang dianggarkan seramai 40,000 orang.

“Syarikat-syarikat gergasi dari China mempunyai struktur kos yang berbeza dan lebih murah kerana mereka akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan, tenaga kerja, kontraktor dan pembekal dari China,” katanya.

Rafizi berkata, dia dimaklumkan keseluruhan tenaga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan solat hajat pada Jumaat di seluruh negara ekoran perkembangan yang membimbangkan itu.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.