Followers

Sunday, November 8, 2015

Tun M dedah Speaker Tolak Demokrasi Untuk Lindungi Najib......Sebarkan 20:49 suarakami




Undi tidak percaya kepada perdana menteri adalah sesuatu yang demokratik, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Undi tidak percaya terhadap perdana menteri sesuatu yang “sememangnya demokratik”, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung Aturan Mesyuarat Parlimen tidak membenarkan langkah sedemikian diambil.
Menulis di blognya malam tadi, bekas perdana menteri itu berkata, walaupun Parlimen mungkin tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan seorang perdana menteri perlu meletakkan jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Jadi, adakah speaker cuba untuk mengetepikan Perlembagaan?” soal Dr Mahathir, merujuk kepada laporan berita awal bulan ini Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya yang akan dibentangkan terhadap perdana menteri.
Dewan Rakyat bakal bersidang semula bulan depan dan ahli Parlimen pembangkang selama ini giat mendesak penggubal undang-undang di pihak kerajaan Barisan Nasional untuk menyokong mereka dalam undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak yang ketika ini diselubungi banyak masalah, termasuk skandal kewangan yang didakwa membabitkan dirinya.
Pandikar dilaporkan sebagai berkata, Aturan Mesyuarat Parlimen tidak menjelaskan bagaimana usul itu boleh dibentangkan dan beliau mempunyai budi bicara penuh sama ada untuk menolak atau menerima usul itu jika ia dibangkitkan.
Beliau berkata, undi seperti itu tidak pernah dibuat sebelum ini di Parlimen Malaysia.
Dr Mahathir dalam blognya bersetuju, mengatakan ia tidak pernah dilakukan kerana tiada seorang pun daripada perdana menteri sebelum ini “mempunyai RM2.6 bilion dalam akaun peribadi mereka, atau terlibat dalam skandal kewangan dan dakwaan pembunuhan sesiapa”.
Beliau merujuk kepada sumbangan politik daripada seorang penderma Timur Tengah yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib, firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menanggung hutang sebanyak RM42 bilion dan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, yang Najib nafi pernah mengenalinya.
“Tetapi Najib terlibat dalam semua ini,” kata negarawan bersara itu.
Dr Mahathir berkata, Malaysia kini dalam perhatian antarabangsa, di mana media asing dan warga luar bertanya apa yang sedang berlaku kepada negara ini.
“Kita rasa malu tetapi kita tak mampu berbuat apa-apa mengenainya.
“Orang yang mampu berbuat sesuatu langsung tidak ada rasa malu. Mereka secara terbuka mengaku menerima wang berjuta-juta daripada perdana menteri. Ini rasuah yang paling teruk.
“Mereka menyokong perdana menteri kerana beliau memberi mereka wang, wang yang beliau tidak dapat jelaskan dengan sebarang kredibiliti yang ia diperoleh secara sah,” katanya.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, tidak hairanlah Malaysia kini “disenaraikan sebagai antara negara paling korup di dunia”, malah “penyokong kerajaan juga tidak menghormati Perlembagaan”.
“Tidak ada undi tidak percaya ialah kerana speaker tidak akan membenarkannya,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.