Followers

Saturday, November 28, 2015

Jika 3 juta ahli Umno sokong Najib, mengapa sekat Muhyiddin, soal akar umbi OLEH MD IZWAN

Ahli Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) sebulat suara menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur pada sidang media yang diadakan di Puchong, Selangor, semalam.

Ahli Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) sebulat suara menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur pada sidang media yang diadakan di Puchong, Selangor, semalam.

Menyekat Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada bercakap semasa perhimpunan agung parti bercanggah dengan dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang beliau disokong 3 juta ahli, kata pemimpin akar umbi.

Mereka berkata, jika Najib yakin dengan sokongan parti, beliau tidak seharusnya bimbang dengan apa yang mungkin disampaikan Muhyiddin ketika merasmikan perhimpunan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Sesetengah pemimpin mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan tidak bertoleransi dengan kritikan membenarkan penentangnya, Tun Musa Hitam untuk merasmikan perhimpunan sayap Umno.

"Apa yang ahli Umno dan rakyat nampak, Datuk Seri Najib seperti takut dengan bayang-bayang sendiri," kata bekas exco Pemuda Umno Bahagian Hulu Selangor Mohamad Faizal Abdul.

"Beliau akan sedaya upaya buat apa cara sekali pun untuk selamatkan diri dan jawatan walaupun terpaksa buat keputusan yang mengarut, menongkah arus.

"Najib begitu terdesak sekarang, saya sangat kecewa apabila Muhyiddin dihalang daripada merasmikan mesyuarat sayap.‎"

Pada 25 November, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan buat pertama kali, sekurang-kurangnya dalam 3 dekad, timbalan presiden tidak dibenarkan merasmikan perhimpunan 3 sayap parti.

Pemerhati percaya, tindakan itu disebabkan perselisihan di antara Muhyiddin dan Najib selepas bekas timbalan perdana menteri itu disingkirkan daripada Kabinet pada Julai.

Najib memecat Muhyiddin kerana kritikannya terhadap cara Putrajaya menguruskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun MT mendakwa keputusan itu disebabkan permintaan anggota sayap, ramai pengkritik Najib dalam Umno percaya ia untuk mendiamkan Muhyiddin.

"‎Apa yang perlu ditakutkan? Bukankah 3 juta ahli Umno memang sentiasa di belakang presiden?” soal Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar kepada The Malaysian Insider.

Selepas ahli parti bangkit mengkritiknya, Najib pada Ogos mengatakan beliau disokong 3 juta ahli Umno dan tidak akan meletakkan jawatan.

Hamidi menyifatkan langkah menyekat Muhyiddin bertentangan tradisi parti dan tidak menghormati ahli yang memilih semasa pemilihan sebelum ini.

"Sudah tentu tidak wajar, selain bertentangan dengan tradisi, kita juga mahu dengar amanat dan nasihat daripada timbalan presiden yang kita pilih secara sah," katanya.

Dalam pada itu, ketua cawangan Umno dalam bahagian Sepang, Rushdan Mohamed juga senada dengan Hamidi, menyifatkan ia sebagai keputusan luar biasa dan tidak pernah berlaku dalam sejarah parti.

"Sememangnya saya tidak bersetuju, runtuhnya institusi demokrasi dalam Umno," kata ketua Umno Cawangan Rista Villa Perdana.

Belia berkata, tindakan Najib menunjukkan Umno kini sudah menjadi milik individu.

"Umno sudah jadi Sdn Bhd sekarang," katanya.

Sementara itu, bekas ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh pula berkata, tindakan menghalang Muhyiddin hanya membuatkan ahli Umno dan rakyat semakin menyampah dengan Najib yang sudah merosakkan parti.

"Orang Umno sudah hilang keyakinan kepada presiden dan orang Melayu menyampah dengan Umno. Untuk membetulkan keadaan ini ialah presiden perlu meletakan jawatannya," katanya. – 28 November, 2015.


http://www.themalaysianinsider.com/bahasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.