Followers

Saturday, November 14, 2015

Desak Azmin batal projek kondominium di Kajang Mohamad Fadli


Bahasa,-PIBG-SMKA,-MPKJ,-Jazlan,-Azmin,-kondominium-Louvre

MPKj didakwa telah meluluskan pembinaan kondominium setinggi 36 tingkat yang berhampiran SMKA Maahad Hamidiah, Kajang.

KAJANG: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali didesak supaya membatalkan segera kelulusan yang telah diberikan bagi pembinaan kondominium mewah, The Louvre, setinggi 36 tingkat di Kajang.

Desakan itu dibuat oleh penduduk dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah kerana mendakwa berlaku penipuan ketika pemaju mendapatkan kelulusan pelan pembangunan projek terbabit daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Yang Dipertua (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Jazlan Ahmad berkata, satu petisyen telah dibuat untuk meminta Azmin membantu penduduk dan pihak SMKA membatalkan kelulusan itu.

“Setakat ini sudah 40,000 orang telah menandatangani petisyen oleh penduduk di sekitar Bandar Bangi Baru, badan-badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan pelajar SMKA.

“Petisyen itu dibuat agar pihak berkuasa serta kerajaan negeri campur tangan dalam membatalkan projek itu.
“Kita akan hantar petisyen itu selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media bersama penduduk Bandar Baru Bangi pada Jumaat.

Sebelum itu, seramai 200 peserta hadir dan terlibat dalam demontrasi bantahan pembinaan kondominium The Louvre.

Tambah Jazlan, pihaknya juga telah membuat satu laporan polis berkenaan penipuan yang dibuat oleh pemaju itu bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah antara MPKj dan pemaju.

Jazlan turut menjelaskan penduduk merasakan tertipu setelah MPKj sebelum ini memaklumkan bahawa hanya meluluskan pembinaan kondominium empat tingkat sahaja.

Namun, katanya, MPKj telah meluluskan pembinaan kondominium 36 tingkat dan ini menyebabkan kemarahan penduduk yang merasakan ditipu.

“Kami tidak akan membantah sekiranya pemaju membina kawasan perumahan empat tingkat… Tetapi kita bantah jika pembinaan itu dibuat setinggi 36 tingkat.

“Kelulusan ini akan memberi risiko seperti akan ada pembinaan kawasan perumahan tinggi di kawasan ini pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, pembinaan kondominium 36 tingkat itu tidak sesuai dibina berikutan jarak yang terlalu dekat dengan kawasan sekolah.

Jazlan berkata, kesesakan lalu lintas akan berlaku dan mengancam keselamatan pelajar.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.