Followers

Friday, November 13, 2015

Derma RM2.6 bilion: Najib setuju beri keterangan kepada SPRM Mohamad Fadli


sprmPerdana Menteri akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam membantu siasatan memandangkan kes itu telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan sumbangan dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Perdana Menteri berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan bahawa beliau diminta memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes berkenaan.

“Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut.

“Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Najib berkata, beliau sedia bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM memandangkan kes itu telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

Beberapa jam sebelum itu, SPRM menerusi kenyataan media memaklumkan pihaknya akan mengambil keterangan Perdana Menteri setelah pihaknya menghubungi Pejabat Perdana Menteri.

“SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Najib) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abu Kassim berkata SPRM mensasarkan untuk melengkapkan siasatan dana RM2.6 bilion dan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat badan itu boleh mengakses kepada dua pengarah SRC International iaitu saksi penting yang masih berada di luar negara dan diambil keterangan mereka.

“Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Najib untuk diambil keterangan,” jelasnya.
Beliau berkata sementara SPRM berhasrat menyelesaikan siasatan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan segera, namun badan itu tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi penting.

Katanya, SPRM akan memaklumkan status siasatan dari semasa ke semasa kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Beliau berkata, sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober.

“SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.