Followers

Wednesday, November 4, 2015

Debat 1MDB secara langsung hanya jika syarat dipatuhi, kata menteri OLEH NABIHAH HAMID

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata debat 1MDB boleh diteruskan sekiranya syarat speaker Dewan Rakyat dipatuhi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 November, 2015.

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata debat 1MDB boleh diteruskan sekiranya syarat speaker Dewan Rakyat dipatuhi.

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata debat 1MDB boleh diteruskan sekiranya syarat speaker Dewan Rakyat dipatuhi.

Siaran langsung sesi debat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya akan diteruskan sekiranya syarat yang ditetapkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dipatuhi, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, syarat yang dimaksudkan ialah supaya ahli Parlimen DAP Tony Pua meletak jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak terlibat sebagai saksi dalam siasatan PAC terhadap 1MDB.

"Speaker sudah buat keputusan. Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghormati keputusan beliau. Debat akan hanya disiar secara langsung jika syarat-syarat di patuhi.

"Syarat-syaratnya, seperti yang dinyatakan speaker, iaitu Pua kena berhenti dari PAC dan Arul tidak jadi saksi," katanya kepada The Malaysian Insider malam ini.

Terdahulu hari ini, Salleh yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional berkata, RTM sedia menjadi tuan rumah untuk menyiarkan siaran secara langsung perdebatan antara Pua dan Arul pada Jumaat ini jam 9 malam.

Katanya, debat itu perlu diadakan bagi menerangkan kepada umum fakta mengenai 1MDB, dana pelaburan negara yang penuh kontroversi dan sarat hutang itu, kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Pandikar kemudiannya mengumumkan di Dewan Rakyat, Pua yang juga ahli PAC perlu meninggalkan jawatankuasa Parlimen itu terlebih dulu kerana penglibatannya dalam debat itu boleh menjejaskan siasatannya ke atas 1MDB.

Bertindak balas kepada pengumuman itu, Pakatan Harapan mengumumkan pihaknya akan mendapatkan seorang lagi ahli Parlimen pembangkang yang akan menggantikan Pua, yang bukan ahli PAC supaya debat itu boleh diteruskan Jumaat ini dan Pua tidak perlu keluar dari PAC.

Namun, Pandikar pula menegaskan beliau akan melepaskan jawatan sebagai yang dipertua Dewan Rakyat jika perdebatan itu diteruskan kerana ia hanya akan menyebabkan tidak timbul lagi keperluan untuk PAC mengadakan siasatan mengenai isu tertentu selepas ini. – 3 November, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.