Followers

Thursday, November 5, 2015

Dakwa polis sebabkan kematian Syed Azlan – SUARAM Faiz Zainudin


suaram

SUARAM menghantar memorandum mendesak Ketua Polis Negara bertindak segera terhadap pegawai dan anggota polis yang menyebabkan kematian si mati.

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendesak supaya mendakwa pegawai dan anggota polis yang menyebabkan kematian Syed Mohamed Azlan Mohamed Nur.

Penyelaras Projek SUARAM, Tarmizi Anuwar berkata, pihak polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian Syed Azlan kerana ia berlaku ketika dalam tahanan polis.

Malah, hasil siasatan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) telah mengesahkan kematian Syed Azlan pada 3 November 2014 disebabkan kekerasan polis ketika menjalankan siasatan terhadap si mati.
Katanya. dalam memorandum itu SUARAM membuat enam tuntutan kepada polis iaitu;

1. Membawa anggota polis yang terlibat dalam kematian Syed Azlan ke muka pengadilan dalam tempoh sebulan

2. Datuk Hasnan Hassan (Ketua Siasatan Jenayah Johor) perlu digantung dan disiasat kerana cubaan melakukan penipuan dan memalsukan maklumat sebenar kematian Syed Azlan dengan mengatakan si mati meninggal dunia secara mengejut

3. Bertanggungjawab penuh terhadap kejadian dan kematian si mati

4. Melaksanakan saranan EAIC iaitu sekiranya berlaku kecederaan fizikal pada susupek semasa penangkapan, maka suspek perlulah dirujuk atau dihantar ke Pegawai Perubatan Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan suspek tersebut

5. Meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab ke atas kecederaan atau kematian orang tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya

6. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang fokus membantu perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tarmizi berkata, kenyataan awal Hasnan bercanggah dan memesong dengan laporan EAIC yang mendapati polis telah mengunakan kekerasan fizikal kepada mangsa ketika melakukan siasatan.

Katanya, saksi kejadian telah menceritakan si mati telah ditumbuk, disepak dan diterajang di badan oleh semua anggota polis yang masuk ke dalam bilik siasatan.

Katanya, saksi memberitahu si mati beberapa kali meminta tolong kerana kesakitan dan diminta dilonggarkan gari.

Berdasarkan maklumat-maklumat itu,Ketua Polis Negara perlu memberi perhatian serius dalam mencari keadilan dan pihak SUARAM akan terus memberi tekanan supaya kes ini diselesaikan segera.

“Kami melihat salah laku polis perkara yang serius kerana pasukan keselamatan ini mempunyai kuasa yang besar dalam menangkap dan memerangi jenayah,” katanya.


FREE MALAYSIA TODAY

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.