Shahbudin meragui tujuan sebenar berita yang disiarkan The New York Post
Andaian itu cuba disingkap penulis blog yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin.
Sambil tidak menolak ia disiarkan secara kebetulan, dia juga meragui kemungkinan laporan itu mempunyai maksud tersirat.
Apapun bagi Shahbudin, kesan laporan hutang membeli beg jenama mewah oleh Maira sehingga mencecah bil AS$400,000 terpaksa ditanggung Najib.
“Selain merancakkan perbualan rakyat dengan pelbagai andaian, teori dan analisa, ia tentu juga sedikit sebanyak mengganggu emosi Najib yang antara gembira untuk menyambut Obama dengan tertekan dek kemelut politik dalam negara yang dihadapinya serta persepsi antarabangsa tentang dirinya berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta,” katanya yang ditulis di shahbudindotcom.
Turut diketengahkan dalam entrinya, Shahbudin tidak menolak kemungkinan nama Najib telah digunakan untuk tujuan itu.
“Benarkah nama Najib dijaja dan dipergunakan oleh besannya?
“Berpengaruhkah nama Perdana Menteri kita di Amerika Syarikat atau ini merupakan “cara halus” besannya itu agar Najib tolong melangsaikan pembayarannya?” soalnya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Maira telah menggunakan status besannya sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan mengeluarkan kata-kata ugutan ketika diminta membayar hutang 12 beg yang dibelinya.
“Kamu kenal anak saya? Beliau adalah menantu Perdana Menteri Malaysia. Saya akan cederakan awak dan keluarga jika menyaman saya,” katanya sebagaimana yang disiarkan The New York Post.
Ia diungkap apabila Presiden Samilor, Bella Belkin mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berikutan pengambilan beg tangan tanpa membuat bayaran itu berlaku sejak 2014 hingga 2015.
Dalam saman di Mahkamah Persekutuan Manhattan, Amerika Syarikat, akhbar itu melaporkan, Maira dituduh mengambil 12 beg tangan jenama Hermes bernilai kira-kira AS$400 ribu atau RM1.7 juta daripada daerah perniagaan Samilor tanpa membayarnya.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.