Followers

Friday, October 16, 2015

Zam jangka lebih ramai tinggalkan ‘kapal’ Najib




Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menjangkakan lebih ramai ahli Umno akan menjejaki langkah Datuk Saifuddin Abdullah meninggalkan parti itu kerana tidak mahu ‘karam’ bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak .

"Saifuddin nampak pengaruh Najib semakin terhakis, jadi beliau melompat sebelum kapal tenggelam. Saya berpendapat lebih ramai akan melompat sebelum kapal Umno karam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Zainuddin berkata imej kesederhanaan Najib semakin terhakis kerana perdana menteri gagal menyatakan pendiriannya berhubung beberapa isu.

"Sebagai contoh, sekolah satu aliran yang diperjuangkan oleh Utusan (Malaysia), jika beliau tidak bersetuju, beliau harus beritahu Utusan (akhbar milik Umno) supaya henti menyiarkan isu itu.

"Sama juga dengan (demo) baju merah, beliau membiarkan perhimpunan itu dan kemudian membidasnya,” kata Zainuddin yang mesra dengan panggilan Zam dan juga pernah menerajui Utusan.

Beliau juga mendakwa tindakan Saifuddin meninggalkan Umno memberi kesan lebih buruk kepada Najib berbanding Umno.

"Umno tidak rugi tetapi ini akan menjejaskan imej kesederhanaan Najib,” katanya lagi.


KAPAL NAJIB HAMPIR KARAM -  SEMUA MENYELAMATKAN DIRI

Menurut Zainuddin, tindakan ahli beramai-ramai meninggalkan Umno akan menjejaskan parti tetapi pada masa yang sama beliau yakin tindakan itu bakal menyaksikan mereka bersatu pada kemudian hari.

Saifuddin mengetuai Gerakan Moderate Global sebuah badan keamanan dunia yang diilhamkan oleh Najib ketika ucapannya pada sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2010.

Beliau meninggalkan Umno hari ini dan menyertai PKR dengan alasan tidak puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan skandal 1MDB.

- mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.