Followers

Monday, October 5, 2015

Tujuh pemimpin Umno dipantau itu mungkin... Abdul Rahim Sabri


Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencetuskan tanda tanya selepas mendedahkan tujuh pemimpin Umno dipantau kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Sekalipun menteri Wilayah Persekutuan itu tidak mendedahkan individu yang terlibat dan sebabnya, namun umum boleh mencongak pemimpin yang dimaksudkan berdasarkan perkembangan semasa, aktiviti dan kenyataan masing-masing.

Setakat ini masih belum jelas pemimpin terbabit sama ada di peringkat atasan ataupun akar umbi.

"Maaf, tiada spekulasi kerana kami sedang memantau pergerakan mereka," kata Tengku Adnan kepada Malaysiakini petang ini.

Namun begitu, berdasarkan keadaan semasa, tujuh pemimpin itu mungkin melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri kabinet Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut disebut-sebut, di samping bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.

Anak lelaki Dr Mahathir itu, yang sebelum ini diuar-uarkan akan dipecat sewaktu isu pemecatan Muhyiddin berada di kemuncak, turut terkena tempias daripada kelantangan bapanya mengkritik Najib.

Mereka antara yang lantang mengkritik kelemahan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ia termasuklah kenyataan keras mereka mengenai dakwaan skandal kewangan 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib dan mendapat liputan buruk media antarabangsa.

Semua pemimpin itu juga dilihat mempunyai kaitan dengan Mahathir - yang nampaknya kini sanggup melakukan apa sahaja untuk menurutkan Najib, termasuk hadir dalam perhimpunan BERSIH 4 hujung Ogos lalu.

Beliau konsisten menunjukkan kemarahan kepada pentadbiran Najib. Sementara Muhyiddin dan Shafie – walaupun antara pemimpin paling kanan Umno tidak mustahil turut berdepan pemantauan ibu pejabat parti.
Muhyiddin, yang disingkirkan dari kabinet sering mengeluarkan kenyataan pedas dan sinis terhadap Najib, turut mempersoal mengapa sumbangan RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun Najib dan mahu lembaga pengarah 1MDB ditukar dalam pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno.

Hampir empat bulan tiada dalam kabinet, Shafie juga mahu isu 1MDB diselesaikan segera termasuk isu ekonomi ketika ini.

Mukhriz antara pemimpin awal Umno yang tidak segan-segan menunjukkan simpati terhadap Muhyiddin dan Shafie.

Sementara itu, Khaled pula antara tokoh utama Umno Johor yang rapat dengan Muhyiddin - menyuarakan kekecewaan akar umbi yang terluka ekoran pemecatan ketua Umno Pagoh dalam kerajaan.

Khaled dilapor lantang mengeluarkan kenyataan mengenai kepentingan akar umbi Umno menunjukkan kesetiaan dan menyokong kebenaran.

Beliau juga mengkritik Umno supaya tidak berdiam diri dengan amalan rasuah yang menjadi budaya dalam parti.

Pemerhati juga berpendapat kemunculan semula Sanusi dan Rafidah yang ligat menghentam kepimpinan Najib sejak akhir-akhir ini turut mencetuskan persoalan antara pemimpin Umno yang berada dalam pemantauan ibu pejabat parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.