Followers

Monday, October 5, 2015

Azmin enggan ulas terbuka isu petisyen 25 MPP Anne Muhammad



Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan perpecahan parti itu ekoran penubuhan Harapan Baru dan menegaskan petisyen yang ditandatangani oleh 25 anggota pimpinan pusatnya masih boleh dibincangkan.

Azmin bagaimanapun berkata perkara masalah dalaman yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka.
"Tiada perpecahan (dalaman).

“Itu masalah dalaman parti. Kita tak bincang masalah dalaman parti secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Digital Kreatif Selangor di I-City Shah Alam.

Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan bermesyuarat Ahad depan bagi membincangkan pembentukan "mengejut" gabungan baru itu.

Dalam petisyen bertarikh 22 September, seramai 25 anggota MPP berkata pembentukan gabungan itu tidak memihak kepada keputusan PKR dalam mesyuarat MPP, dua hari sebelum perbincangan meja bulat pembentukan Pakatan Harapan.

Mereka dikatakan terkejut dan bimbang mengenai penubuhan Pakatan Harapan yang didakwa tergesa-gesa.
Sementara itu Azmin berkata, perbincangan melibatkan anggota MPP proses biasa dalam parti itu.

"Sebab PKR ini bukan macam Umno, PKR ini sebuah parti reformasi yang sentiasa membincangkan perkara-perkara yang memberi kepentingan kepada anggota dan kepada rakyat.

“Kita terbuka untuk perbincangan dan demokratik,” katanya.

Walaupun sebelum ini Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah mendakwa penubuhan Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa, namun Azmin berkata perkara itu masih terbuka untuk dibincangkan.

Maria dilaporkan berkata penubuhan blok pakatan pembangkang itu diumumkan sebelum 3 parti pembangkang yang menyertainya menyediakan sesuatu yang konkrit untuk ditawarkan kepada rakyat sebagai alternatif kepada BN.

Mengakui pertubuhan yang diketuainya dijemput menghadiri sidang meja bulat rundingan penubuhan Pakatan Harapan, tetapi Maria berkata keputusan seolah-olah sudah dibuat terlebih dahulu sebelum perbincangan dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.