Followers

Thursday, October 8, 2015

Tajuddin ancam 'tampar', wartawan yang kena tindakan oleh V Shuman

Encik Politik Encik Polotik's photo. Jika anda adalah seorang “pembawa khabar”, Malaysia adalah tempat yang bahaya untuk anda.

Termasuklah dengan menjadi wartawan. Anda mungkin akan dipanggil untuk disoal siasat polis kerana melaporkan apa yang dikatakan menteri atau timbalan menteri.


Mangsa terbaru adalah wartawan Malaysiakini yang melaporkan kata-kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman yang mengancam untuk menampar masyarakat Cina di sini.


Memetik laman Facebook wartawan terbabit, laman Free Malaysia Today melaporkan yang beliau akan dipanggil hari ini.


Ini adalah kali pertama beliau dipanggil untuk soal siasat, sepanjang lima tahun terlibat dalam bidang kewartawanan.


“Empat hari lalu saya melaporkan kenyataan Tajuddin, dan dua jam selepas berita diterbitkan, beliau menghubungi saya dan mengancam untuk saman saya kerana memanipulasi kenyataannya. Namun sehingga sekarang, tiada tindakan diambil.


“Namun sejak itu, pegawainya menghubungi saya setiap hari…Hari ini, saya dapat tahu dari bos yang polis mahu mengambil kenyataan saya.


“Sepanjang lima tahun menjadi wartawan, ini kali pertama polis mahu merakam kenyataan…Saya harap semuanya baik sahaja,” katanya pada Isnin lalu menurut Free Malaysia Today.


Tajuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan untuk menampar itu ketika mengulas tindakan masyarakat Cina yang “membuat rungutan kepada pihak luar”.


“Saya ingin memberi amaran kepada masyarakat Cina Malaysia, jangan fikir jika anda ada masalah, anda mahu merungut – sedikit pun mahu merungut – dan ada orang yang akan beri perlindungan.


“Kena tampar, kalau macam tu,” katanya seperti dipetik.


Tidak mengejutkan apabila kenyataan itu mengundang respon negatif pelbagai pihak, termasuk MCA.


Tajuddin segera mempertahankan dirinya – pada mulanya menafikan berkata demikian, tetapi kemudiannya mengaku namun berkata sekadar melawak.

Penafiannya membuatkan Malaysiakini menyiarkan rakaman audio, yang jelas membuktikan Tajuddin memang berkata demikian.


Apabila semua langkah untuk menjustifikasikan kenyataan itu gagal, Tajuddin melepaskan tanggungjawab kepada polis untuk memadamkan kesalahannya.


Bolehkah sesiapa tolong jelaskan, apakah logiknya tindakan polis menyoalsiasat wartawan yang melaporkan kenyataan Tajuddin?


Jelas bahawa ini bukanlah kes salah lapor memandangkan wartawan itu memiliki rakaman audio kenyataan Tajuddin.


Jadi, adakah polis cuba menakut-nakutkan wartawan dan organisasi medianya, agar menarik balik laporan dan meminta maaf kepada Tajuddin? Tajuddin jelas mengeluarkan kenyataan tersebut, namun tiada keberanian untuk memikul tanggungjawab.


Jika berdasarkan logik di Malaysia hari ini, tidak salah menjadi politikus yang korup. Begitu juga dengan menjadi pentaksub yang mengancam untuk menampar dan mendatangkan kecederaan fizikal kepada kaum lain.


Tindakan-tindakan ini tidak akan dikenakan tindakan undang-undang. Namun lain ceritanya bagi sesiapa yang membuat laporan tentangnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.